Berita Utama

Krisis kekurangan pegawai perubatan di HKL, HTA tidak berbangkit

KKM rancang ganti doktor bertukar keluar pada tarikh sama

KUALA LUMPUR, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Krisis kekurangan pegawai perubatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Azizah (HTA) adalah tidak berbangkit, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM dalam kenyataan hari ini menjelaskan mengenai isu surat dari HKL yang tular berkaitan kekurangan pegawai perubatan di kedua-dua hospital itu berikutan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL bermula 18 Julai.

“Selaras dengan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL dan HTA pada 18 Julai 2022, KKM juga merancang pertukaran masuk pegawai perubatan dari negeri lain ke HKL dan HTA pada tarikh yang sama bagi menggantikan pegawai perubatan yang bertukar keluar,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM urusan pertukaran keluar pegawai perubatan dari HKL adalah prosedur biasa bagi melaksanakan arahan dan memproses permohonan pertukaran pegawai dari semasa ke semasa.

“Untuk makluman, surat yang dikeluarkan oleh pengurusan HKL itu bertujuan melaksanakan penyelarasan dalaman bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan khususnya di Jabatan Kecemasan HTA terus berjalan lancar,” menurut  kenyataan itu.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button