Berita Utama

Nasib 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga G7 bakal dibela

Permasalahan telah diusul ke MoF namun belum ada keputusan

BANGI, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Nasib kira-kira 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga G7 yang gagal memperbaharui lesen atas pelbagai faktor, terutama disebabkan kenaikan harga bahan binaan bakal mendapat pembelaan daripada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya sudah maklum berkenaan isu terbabit seterusnya telah mengusulkan permasalahan itu kepada Kementerian Kewangan (MoF).

“Kementerian Kerja Raya sudah berbincang dengan MoF untuk memperluaskan lagi skop liputan barang yang dipersetujui bagi ditambahkan kenaikan harga.

“Setakat ini, belum ada keputusan lagi tapi sudah bangkitkan perkara ini kepada MoF, dalam proses (dipertimbangkan),” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Mustapa berkata, sudah banyak laporan berkaitan masalah itu diterima dan pihaknya sedia maklum malah memahami akan kesan kepada projek termasuk tambahan peruntukan yang diperlukan bagi menyiapkan sesuatu projek.

Sebelum ini, Timbalan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz menjelaskan kira-kira 50,000 kontraktor Melayu gred G1 hingga G7 gulung tikar kerana tidak memperbaharui lesen sejak 2018 disebabkan faktor yang dinyatakan.

Ia disebabkan pelbagai faktor yang menyumbang masalah berkenaan termasuklah modal tidak mencukupi dan kekurangan projek susulan pandemik COVID-19 sekaligus menyebabkan ada dalam kalangan mereka menanggung hutang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button