Berita Utama

Perkhidmatan 5G secara peringkat selewatnya September 2022

6 syarikat telekomunikasi setuju pegang ekuiti dalam DNB

KUALA LUMPUR, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Pengguna dijangka dapat menikmati perkhidmatan rangkaian 5G secara berperingkat selewat-lewatnya September ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, menjelang 1 tengah hari semalam, syarikat keenam telah memeterai perjanjian untuk mengambil ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB).

Annuar berkata, keenam-enam syarikat bersetuju memegang ekuiti dalam DNB dan persetujuan itu akan disusuli dengan perundingan yang muktamad mengenai harga dan sebagainya.   

“Jadi proses fasa pertama itu selesai dan sekurang-kurangnya keenam-enam syarikat ini, dalam bahasa biasa, akan diberi peluang untuk membuat dia punya kajian daya maju dan juga kaedah penilaian bagi tujuan pelaksanaan pelancaran sebenar dan DNB difahamkan ini mungkin memakan masa antara satu hingga dua bulan.

“Insya-Allah, seminggu lagi menjelang 8 haribulan (Julai), dirasmikan tandatangan, dokumen-dokumen yang tertentu kemudian barulah mereka diberi tempoh untuk membuat proses kajian daya maju yang berkenaan supaya menjelang September selewat-lewatnya, pengguna sudah boleh menerima pelancaran perkhidmatan 5G secara berperingkat mengikut kawasan dan prasarana yang dapat disiapkan terlebih dahulu oleh DNB,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas Majlis Ramah Mesra Bersama MenKOMM serta Taklimat Pelaksanaan 5G oleh Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta DNB awal hari ini.

Annuar berkata, beliau juga gembira kerana selepas pelancaran itu tergendala selama beberapa bulan akibat penentuan model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) yang dirayu untuk diubah, kini sudah ada jalan penyelesaian yang diterima oleh semua pihak.

Semalam, beliau memaklumkan bahawa enam syarikat telekomunikasi dijangka memegang kepentingan ekuiti dalam DNB bagi pelaksanaan infrastruktur 5G negara melalui model SWN.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button