Berita Utama

Pusat rawatan TH di Arab Saudi dapat kelulusan permit

Perkhidmatan ditawarkan hampir setara dengan hospital pakar minor

PUTRAJAYA, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah dan Madinah menjadi pusat rawatan jemaah haji luar negara pertama yang mendapat kelulusan permit (Tarkhis) daripada Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk pembukaan dan pengoperasian hospital bagi musim haji kali ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkhidmatan yang ditawarkan di Pusat Rawatan TH itu adalah hampir setara dengan hospital pakar minor.

Beliau berkata, pusat rawatan itu mendapat permit ambulans (Tasrih) untuk menjalankan perkhidmatan ambulan dimana pihak Malaysia mempunyai 20 buah ambulan spesifikasi tinggi.

“Kelulusan permit-permit ini diberikan setelah melalui pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

“Ini merupakan suatu pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 13 Mei lepas, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar sejumlah 255 petugas perubatan merangkumi 128 petugas yang berpengalaman menyertai operasi sebelum ini serta 127 petugas baharu.

Dr Noor Hisham berkata, secara umumnya, KKM memberi perkhidmatan kesihatan di semua tempat penginapan jemaah haji di bawah kelolaan TH antaranya rawatan pesakit luar di klinik zon atau maktab, rawatan kecemasan, rawatan pesakit dalam, rawatan pakar bagi perubatan keluarga, kecemasan, perubatan, ortopedik, anestesiologi atau bius, radiologi, psikiatri dan kesihatan awam.

Turut ditawarkan ialah perkhidmatan panggilan ambulans, makmal perubatan, farmasi pesakit dalam dan pesakit luar, fisioterapi, khidmat penjagaan spiritual, khidmat pemakanan diet pesakit, survelan kawalan penyakit, serta pemantauan kualiti dan keselamatan makanan.

Menurutnya, secara keseluruhannya di Makkah dan Madinah, kapasiti katil di pusat rawatan pesakit dalam adalah sebanyak 268 katil manakala pusat rawat dan rehat, 184 katil.

Dr Noor Hisham berkata, antara penyakit yang paling kerap diterima di klinik pesakit luar di Makkah dan Madinah adalah jangkitan kuman paru-paru seperti jangkitan kuman pernafasan atas (URTI), radang paru-paru dan lelah, selain penyakit tidak berjangkit seperti penyakit darah tinggi tidak terkawal dan kencing manis tidak terkawal dan serangan jantung.

Penyakit lain adalah berkaitan kulit seperti rekahan kulit dan alahan, selain tekanan haba, keletihan haba dan kepenatan badan, katanya.

“Keadaan cuaca panas terik dan kering di Tanah Suci Makkah dan Madinah boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan langkah penjagaan kesihatan perlu diambil serius oleh para jemaah Haji,” katanya.

Selain itu, katanya penularan jangkitan penyakit berjangkit yang kerap dilihat seperti musim Haji tahun-tahun dahulu masih boleh berlaku di Tanah Suci.

“Jemaah Haji Malaysia adalah disarankan untuk sentiasa memakai pelitup muka terutama di kawasan berisiko seperti kawasan yang sesak dan tertutup seperti dalam lif, surau dan di luar bangunan penginapan jemaah Haji,” katanya.

Jemaah Haji juga perlu mendapatkan rawatan awal di klinik maktab di Makkah atau zon di Madinah jika bergejala bagi pengesanan awal penyakit seterusnya rawatan awal boleh diberikan bagi mengelak komplikasi penyakit yang teruk, katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button