Berita Utama

Dasar UMNO, BN jelas sokong Ismail Sabri sebagai PM: Tok Mat

'Cakap-cakap satu, dua orang tidak boleh dijadikan sebagai dasar parti'

PENAMPANG, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai dasar yang jelas untuk menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Justeru, Timbalan Presiden UMNO itu berkata, cakap-cakap segelintir individu yang bertentangan dengan dasar itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai pandangan parti UMNO mahupun BN.

Beliau juga menegaskan tiada pihak dalam UMNO dan BN yang menyerang kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, malah parti memberikan sokongan kepada Ismail Sabri dengan penuh ikhlas.

“Kita memperakui baru-baru ini Perdana Menteri (Ismail Sabri) merupakan calon ‘poster boy’ (Perdana Menteri) kita menghadapi pilihan raya (PRU15), ini jelas menunjukkan keikhlasan parti untuk kita pastikan ketenangan dalam parti itu dapat kita capai sebelum kita hadapi pilihan raya.

“Tetapi cakap-cakap satu, dua orang itu tidak boleh dijadikan sebagai dasar parti ya, dasar parti jelas memperakukan ‘poster boy’ kita adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Sabah di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas ucapan Ismail Sabri pada Majlis Makan Malam Ahli Dewan Tertinggi BN Bersama Kepimpinan BN Sabah malam tadi yang menekankan perpaduan dalam parti selain mengingatkan bahawa beliau Perdana Menteri daripada BN, justeru tindakan menyerangnya bermakna melemahkan kepimpinan BN.

Mohamad berkata, apa yang penting dalam UMNO dan BN adalah memupuk perpaduan dan kesepakatan dalam parti itu yang perlu serta amat penting ketika parti menghadapi PRU15.

“Lagipun kita memang menjadikan kestabilan itu sebagai kita (BN) punya tagline iaitu kestabilan demi kemakmuran,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button