Berita Utama

PEMBELA tuntut pendirian anggota baharu SUHAKAM selari Perlembagaan

Sedia hulur tangan demi agenda agama, bangsa dan tanah air

BANGI, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – PEMBELA menuntut mana-mana program dan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) – yang selama ini menyimpang dan bertentangan Perlembagaan – dapat diperbaiki dan dihentikan dengan segera.

Gesaan disuarakan Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya selepas Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan seramai lapan anggota SUHAKAM yang baharu bagi sesi 2022 sehingga 2025.

Anggota baharu yang dilantik adalah Prof Datuk Dr Rahmat Mohamad, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Dr Chew Chee Ming (Sarawak), Datuk Mary@Mariati Robert (Sabah), Datuk Hasnal Rezua Merican Habib Merican, Nazira Abdul Rahim dan Ragunath Kesavan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelantikan itu dibuat mengikut Subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597).

Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin berkata, komposisi barisan pesuruhjaya bagi SUHAKAM kali ini agak seimbang dan beliau berharap ada kemampuan untuk membawa agenda hak asasi manusia yang selari dengan Perlembagaan negara.

“Walaupun masih ada muka lama yang dilantik semula, namun saya yakin (dan berharap) pengerusi baharu, Prof Dr Rahmat Mohamad mampu membetulkan kembali mana-mana bahagian dan landasan SUHAKAM yang telah tersasar dari asbab kewujudan mereka yang ditubuhkan oleh Parlimen pada 1999 dahulu.

“Kami di PEMBELA akan terus memantau rapat segala tindak tanduk terutamanya laporan-laporan dan kenyataan-kenyataan SUHAKAM dan pesuruhjayanya, sebagai agen ‘semak dan imbang’ terhadap suruhanjaya ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, yang paling penting, PEMBELA berharap agar SUHAKAM selepas ini dapat mengamalkan sikap mesra terhadap badan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan Islam dan bukannya sebagai sebuah ancaman kepada mereka.

“Kita sentiasa bersedia menghulurkan tangan demi agenda agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button