Dunia

Israel serang majlis pengebumian wanita Palestin

Tembak 3 penduduk, ramai sesak nafas terhidu gas pemedih mata

RAMALLAH, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Pasukan penjajah Israel menyerang majlis pengebumian seorang wanita Palestin di bandar Beit Ummar, di wilayah selatan Tebing Barat, semalam.

Menurut aktivis tempatan Palestin, Mohammad Awad, askar Israel menyerang keranda jenazah serta pengusung ketika melalui pintu masuk utama ke bandar itu.

Katanya, tentera turut melepaskan tembakan rambang ke udara dan melepaskan gas pemedih mata serta bom tangan bagi menyuraikan mereka yang hadir dalam pengebumian itu.

Bagaimanapun, Mohammad memberitahu bahawa tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Dalam kejadian berasingan di bandar sama, tiga rakyat Palestin cedera akibat ditembak pengganas Israel ketika konfrontasi dengan tentera di Hebron.

Insiden itu turut menyebabkan ramai yang sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata.

Saksi kejadian memberitahu bahawa tentera Israel melepaskan tembakan dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan Palestin ketika konfrontasi yang meletus di kawasan kejiranan Bab al-Zawiya di bandar itu.

Hampir setiap hari Jumaat, konfrontasi berlaku antara penunjuk perasaan Palestin dan tentera pengganas Israel di kawasan kejiranan yang terletak di bandar lama Hebron.

Bandar Hebron adalah rumah kepada lebih 200,000 rakyat Palestin serta kira-kira 800 penjajah Israel yang terkenal agresif dan tinggal di kawasan di kawal ketat oleh tentera Israel termasuk Polis Pengawal Sempadan.

Pada 2019, Israel mengusir satu-satunya pemantau antarabangsa yang melindungi rakyat Palestin di Hebron daripada 800 penjajah rejim.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button