Dunia

Kes cacar monyet di Afrika dianggap darurat

1,800 kes disyaki termasuk lebih 70 kematian setakat tahun ini

HARARE, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Pihak berkuasa kesihatan di Afrika menganggap wabak cacar monyet yang semakin menular di benua itu sebagai situasi darurat, sekali gus menggesa negara kaya untuk berkongsi bekalan vaksin yang terhad.

Wabak cacar monyet telah menjangkiti orang ramai di bahagian tengah dan barat Afrika selama beberapa dekad.

Namun disebabkan kekurangan diagnosis makmal dan pengawasan yang lemah menyebabkan banyak kes tidak dapat dikesan di seluruh benua.

Setakat ini, negara di Afrika telah melaporkan lebih 1,800 kes yang disyaki setakat tahun ini termasuk lebih 70 kematian, namun hanya 109 kes disahkan oleh makmal.

“Wabak khusus ini bagi kami situasi darurat. Kami mahu menangani cacar monyet sebagai situasi darurat sekarang supaya tidak menyebabkan lebih ramai dijangkiti,” kata pemangku Pengarah Pusat Kawalan Penyakit Afrika, Ahmed Ogwell.

Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, jawatankuasa kecemasannya merumuskan bahawa wabak cacar monyet yang semakin membimbangkan belum ke tahap untuk diisytihar sebagai darurat kesihatan global.

Agensi kesihatan itu berkata, pihaknya akan mempertimbangkan semula keputusan itu sekiranya penyakit berkenaan terus merebak merentasi banyak sempadan.

Ia termasuk jika menunjukkan peningkatan ketara atau mula menjangkiti golongan wanita hamil serta kanak-kanak.

Di seluruh dunia, lebih daripada 5,000 kes cacar monyet telah dilaporkan di 51 negara, menurut Pusat Kawalan Pencegahan Penyakit AS.

Majoriti kes itu dilaporkan di Eropah, namun tiada kematian di luar Afrika direkodkan.

Di Afrika, WHO berkata, cacar monyet telah merebak ke negara di mana ia tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk Afrika Selatan, Ghana dan Maghribi.

Tetapi, lebih daripada 90 peratus jangkitan di benua itu adalah di Congo dan Nigeria, menurut Pengarah WHO Afrika, Dr Moeti Matshidiso.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button