Berita Utama

Mansuh subsidi minyak masak beri kesan harga makanan

Inflasi jurang antara pendapatan minimum, harga barang menakutkan

SHAH ALAM, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Pemansuhan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram bakal memberi kesan kepada banyak produk lain khususnya peniaga di dalam sektor makanan.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan berkata, tidak mustahil berlaku kenaikan harga makanan di restoran berikutan peniaga juga terkesan dengan penghapusan subsidi.

Maka, langkah kerajaan memansuhkan pemberian subsidi sekali gus ditanggung oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.

“Kerajaan kena ingat bahawa subsidi minyak paket yang diberikan sebelum ini sebenarnya tidak mencukupi. Kalau ke pasaraya, tidak akan jumpa minyak masak paket ini.

“Jadi, bagaimana kerajaan kata subsidi minyak masak paket tidak menjadi masalah, walhal hakikatnya ia tidak mencukupi dan rakyat masih bergantung kepada minyak masak botol,” katanya dalam sidang media program Kendurian BERJASA Shah Alam, di sini hari ini.

Yang Dipertua BERJASA Shah Alam itu berkata, apabila pemansuhan itu tersenarai dalam keperluan asas, maka ia juga memberi kesan kepada semua produk-produk lain yang berkaitan.

Justeru, tidak mustahil rakyat akan berdepan dengan lebih banyak kenaikan harga termasuk dalam perniagaan makanan.

“Saya yakin jika dilihat pada inflasi jurang di antara pendapatan minimum dengan kenaikan harga barang, ia sangat-sangat menakutkan kita.

“Jadi, BERJASA mengharapkan ada sesuatu yang difikirkan kerajaan yang lebih berbaloi dan beberapa tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan keresahan rakyat dijawab dengan baik oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 500 pengunjung membabitkan kalangan ahli BERJASA dan masyarakat setempat disasarkan menghadiri program Kendurian anjuran BERJASA Shah Alam hari ini.

Fahmi berkata, program berkenaan adalah inisiatif BERJASA Shah Alam menggabungkan ahli parti yang mendaftar bersama masyarakat setempat bagi menjamu satu tan durian Batu Kurau.

“Hari ini adalah nak menterjemahkan bahawa parti BERJASA serius dan bersungguh-sungguh untuk kita memastikan perjuangan parti akan mendapat sambutan masyarakat di Shah Alam.

“Kita nak pastikan supaya apa yang kita perjuangkan ini bukan sekadar untuk PRU15 tetapi akan mengorak langkah ke PRU-PRU akan datang.

“Pada masa sama, kita berhasrat memastikan kepimpinan BERJASA menjadi sebahagian daripada kepimpinan Malaysia di masa akan datang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button