Berita Utama

PEMBELA kecewa nasib kontraktor Melayu gulung tikar seolah tak terbela

Syor berikan projek-projek kepada kontraktor muslim terjejas

BANGI, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kecewa apabila nasib kontraktor Melayu muslim masih berlarutan sehingga sekarang, meskipun sudah tiga kerajaan bersilih ganti sejak 2018. 

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya pelik apabila isu ekonomi rakyat apatah lagi orang Islam seolah-olah tidak dipandang serius oleh pihak pemerintah.

Buktinya, media melaporkan hampir 50,000 kontraktor Melayu terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai faktor, terutama akibat terkesan dengan kenaikan ketara harga bahan binaan sejak lebih tiga tahun lalu.

Justeru, PEMBELA menggesa kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah untuk membantu rakyat terutamanya umat Islam dalam memastikan kelangsungan ekonomi mereka.

Beliau menyarankan kerajaan supaya memberikan projek-projek kepada kontraktor muslim terjejas, di mana mereka yang terbukti cekap dan berintegriti dalam kerja.

“Mansuhkan faedah bank yang ditanggung oleh para kontraktor dan usahawan yang terjejas.

“Memperkasakan inisiatif suntikan modal secara strategik kepada usahawan terjejas dan usahawan baharu di bawah MARA, TERAJU atau mana-mana agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi melegakan tekanan kepada rakyat yang kesempitan kewangan ketika ini, PEMBELA mencadangkan kerajaan melupuskan hutang pelajaran berjumlah RM7.4 bilion kepada peminjam sedia dengan syarat-syarat khusus.

Aminuddin berkata, PEMBELA turut prihatin dengan perkembangan industri perfileman tempatan yang tertekan kos cukai dikenakan ke atas pengusaha-pengusaha filem.

“Oleh itu, kita menggesa agar kerajaan melupuskan cukai hiburan berjumlah 25 peratus secara khas bagi mana-mana filem tempatan yang mengangkat sejarah negara melalui syarat-syarat khusus.

“Sepatutnya kerajaan memberikan geran kepada penerbit agar banyak lagi tokoh-tokoh pejuang negara dapat diangkat kembali,” katanya.

Serentak itu, PEMBELA mengingatkan kembali kepada kerajaan serta barisan wakil rakyat supaya benar-benar meletakkan jiwa dan raga untuk menyelesaikan isu ekonomi rakyat yang sangat membimbangkan ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button