Berita UtamaDunia

Ribuan berkumpul bantah larangan bertudung di Belgium

‘Dimanakah kebebasan jika saya tak boleh pakai apa yang saya mahu?’

BRUSSELS, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Ibu kota Belgium, Brussels menjadi tempat berhimpun sejak seminggu yang lalu bagi penunjuk perasaan menyuarakan kemarahan ekoran keputusan Perlembagaan yang meluluskan larangan bertudung di universiti di negara ini.

Ribuan penunjuk perasaan yang majoritinya terdiri daripada pelajar universiti hingga kumpulan antiperkauman dan aktivis hak wanita menyuarakan penentangan terhadap keputusan yang tidak membenarkan simbol keagamaan – termasuk tudung.

Para penunjuk perasaan memegang papan tanda yang bertuliskan slogan “Lepaskan tangan anda dari tudung saya” “Hak saya” dan “Di manakah kebebasan jika saya tak boleh memakai apa yang saya mahu.”

Keputusan kerajaan itu turut menimbulkan reaksi balas di media sosial dalam kalangan orang muda dan pelajar, dengan penganjur perhimpunan besar-besaran menggunakan hashtag #HijabisFightBack untuk mengetengahkan impak diskriminasi serta seksis larangan tudung.

Para pejuang hak wanita menggambarkan larangan itu sebagai ‘pelanggaran hak asasi yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam hal keyakinan agama dan falsafah’.

Sementara itu, pelajar muslim juga menandatangani petisyen yang menuntut pembatalan keputusan itu.

Aktivis berkata, keputusan itu berbahaya dan menyekat akses kepada peluang yang sama dalam bidang awam dan boleh mengecualikan wanita muslim daripada kehidupan sosial dan pendidikan.

Pada masa sama, para aktivis juga menyatakan bahawa wanita yang memakai tudung mungkin terpaksa berhenti sekolah atau mengelakkannya sama sekali kerana larangan itu.

“Sayangnya, ada yang akan menyerahkan impian mereka. Dan ada juga yang terpaksa menanggalkan tudung untuk mendapatkan pendidikan,” kata Majlis Muslim Eropah (CEM).

Bagaimanapun, sebanyak 12 institusi akademik di negara ini menyatakan komitmen untuk melindungi kebebasan beragama, dengan menekankan bahawa mereka akan terus menyambut semua pelajar tanpa mengira agama, jantina atau status sosial mereka.

Belgium pernah melaksanakan sekatan serupa dikenali sebagai “Burqa Ban”, yang turut diaplikasikan di beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) lain seperti Perancis dan Belanda. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button