Satu perempat pesakit cacar monyet hidap HIV, STI
Kajian dedah pesakit di UK ada simptom berlainan dari kes biasa

LONDON, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Pesakit cacar monyet di United Kingdom (UK) dikesan mempunyai simptom yang ketara berbeza daripada kebiasaan, menurut penyelidik di London.
Kajian terhadap 54 pesakit di klinik kesihatan seksual London pada Mei lalu mendapati, pesakit melaporkan kurang alami simptom demam dan keletihan, selain lebih banyak luka kulit di kawasan kemaluan serta dubur berbanding biasanya dilihat pada kes cacar monyet.
Cacar monyet – penyakit virus yang biasanya agak ringan dan diisytihar endemik di beberapa negara barat dan tengah Afrika – telah merekodkan 5,000 kes dan satu kematian di luar kawasan itu terutamanya Eropah sejak awal Mei.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes juga meningkat di negara-negara di mana ia lebih kerap merebak.
Penyelidikan dari London yang diterbitkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Lancet mengikuti cadangan badan kesihatan awam seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat, bahawa wabak itu – yang merebak terutamanya di kalangan lelaki berhubungan seks sejenis – menunjukkan keadaan luar biasa.
Penyelidik berkata, definisi kes harus dikaji semula untuk mengelakkan kes terlepas pandang, terutamanya kerana cacar monyet boleh meniru jangkitan seksual (STI) biasa lain seperti herpes dan sifilis.
Kajian itu juga mendapati bahawa satu perempat daripada pesakit cacar monyet adalah HIV positif dan satu perempat mempunyai STI.
“Silap diagnosa jangkitan mungkin menyekat peluang untuk mengambil tindakan pencegahan penularan seterusnya,” kata Dr Ruth Byrne.
Cacar monyet diketahui merebak melalui hubungan rapat, dan penyelidik sedang berusaha menentukan sama ada ia juga boleh tersebar melalui air mani – definisi biasa dalam penularan seksual.- Agensi