Berita Utama

‘Serang kerajaan umpama serang pimpinan BN’

Pihak luar makin rancak cuba pecah belah perpaduan dalam BN

KOTA KINABALU, 2 Zulhijjah 1443H, Sabtu – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau adalah Perdana Menteri daripada Barisan Nasional (BN), justeru sebarang tindakan menyerangnya bermakna melemahkan kepimpinan gabungan politik itu.

Ismail Sabri berkata, beliau juga adalah Perdana Menteri yang memimpin Kerajaan Persekutuan pada masa ini, dan sebarang perbuatan menyerang kerajaan adalah umpama menyerang kerajaan pimpinan BN.

“Sebenarnya malam ini saya tidak berucap, sepatutnya saya diberi slot esok (di Konvensyen BN Sabah) tetapi saya minta maaf tidak dapat hadir… saya berucap malam ini walaupun lima minit sebab dah ada orang kata Perdana Menteri disekat daripada berucap di Konvensyen BN Sabah.

“Apa berlaku malam ini jelas menunjukkan bahawa pihak di luar sedang cuba memecahbelahkan perpaduan sesama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ahli Dewan Tertinggi BN Bersama Kepimpinan BN Sabah di Bangunan UMNO, Karamunsing di sini malam tadi. 

Ismail Sabri berkata, ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hangat diperkatakan, pihak luar semakin rancak cuba memecahbelahkan perpaduan dalam BN.

Justeru, beliau mengingatkan semua ahli BN supaya sentiasa berusaha ke arah merapatkan perpaduan sesama sendiri serta meletakkan fokus yang jelas untuk menentang pembangkang dan bukan menyerang sesama sendiri.

“Jadi, apa sebab kita menyerang sesama sendiri kecuali kita nak berperang sesama sendiri dalam pemilihan parti. Sebab itulah pembunuhan karakter berlaku sebab kita nak ‘bunuh’ sesama sendiri kerana akan berlaku pertandingan sesama kita.

“Tetapi apabila kita sudah tentukan tidak akan berlaku pertandingan sesama kita tetapi akan berlaku PRU dulu, patut fokus kita mesti ke arah PRU, bila PRU itu kita akan bincang, saya akan bincangkan dengan kepimpinan tertinggi UMNO, bincang dengan kepimpinan BN, waktu itu kita putuskan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun pada masa ini masih belum diketahui bila PRU15 akan diadakan, semua ahli BN perlu siap sedia dan sentiasa menganggap seolah-olah pilihan raya itu akan diadakan esok.

Ismail Sabri berkata, Konvensyen BN Sabah yang akan berlangsung esok selain menjadi medan untuk merapatkan saf dalam parti juga perlu menjadi wadah meletakkan hala tuju dan gerak kerja ke arah persediaan menghadapi PRU15.

“Saya tanya pada Bung (Moktar) dia kata ‘Sabah Tatap Ready’… saya dan rakan-rakan dalam kerajaan banyak isu (perlu) diselesaikan, harga barang, kos sara hidup.

“Pembangkang sekarang apabila dapat gambaran pilihan raya akan diadakan, akan memulakan momentum ke arah menentang kerajaan untuk menaikkan sentimen rakyat tentang kerajaan,” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan akan terus cuba mengelakkan kenaikan harga barang yang melampau bagi memastikan rakyat tidak begitu tertekan.

Katanya, lebih RM70 bilion dibelanjakan untuk memberikan subsidi kepada barangan tertentu dalam usaha mengawal kenaikan harga. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button