Berita Utama

PAS tak terkesan dakwaan menterinya ‘cap ayam’

Prestasi dinilai oleh PM, bukan orang luar yang tiada kena mengena: Timbalan Presiden

BANGI, 3 Zulhijjah 1443H, Ahad – PAS enggan melayan dakwaan yang melabelkan menteri daripada partinya sebagai ‘cap ayam’ sehingga membawa beban kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, barisan menteri daripada PAS kini telah menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna mengikut portfolio yang ditetapkan.

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada perdana menteri untuk menilai prestasi dan amanah yang diberikan.

“Saya nak tengok juga siapa menteri dalam PAS yang ‘cap ayam’ tersebut.

“Bukan dia yang buat penilaian, tetapi prestasi dinilai oleh perdana menteri bukannya orang luar yang tak ada kena mengena, yang ada kepentingan peribadi,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menegaskan individu yang layak membuat penilaian terhadap amanah yang diberikan selain daripada rakyat ialah perdana menteri sendiri.

Beliau bagaimanapun menjelaskan semuanya kini berjalan dengan sempurna dan perdana menteri sering mengadakan pertemuan bersama menteri dan timbalan.

“Alhamdullilah, kita (iaitu) Menteri PAS, Timbalan Menteri, kita adakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk kita berkongsi, tukar pendapat apa yang perkara perlu kita baiki. Setakat ini, Alhamdulillah prestasi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, mengecam prestasi ditunjukkan Menteri Kabinet daripada PAS dan mendakwa gagal memikul tanggungjawab dengan baik.

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu dilaporkan berkata, kelemahan kepemimpinan PAS turut menyebabkan Ismail Sabri terpalit dengan pelbagai masalah negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button