Berita Utama

Fenomena Mat Kilau berterusan, raih RM39.2 juta dalam 10 hari!

RM7.3 juta kutipan Sabtu sahaja, dijangka mampu atasi Munafik 2

BANGI, 3 Zulhijjah 1443H, Ahad – Selepas 10 hari ditayangkan, filem epik ‘Mat Kilau’ yang menjadi fenomena ketika ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM39.2 juta.

Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM7.3 juta dikutip daripada tayangan sepanjang hari di pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei, semalam.

Pengarah muda itu menjelaskan kutipan RM7.3 bagi tayangan seharian, semalam adalah suatu sejarah dan fenomena luar biasa bagi industri perfileman Melayu.

“Masya-Allah… Ini semua adalah kuasa Allah,” katanya menerusi kemas kini dalam format video yang dimuat naik di Instagram (IG), hari ini.

Menerusi perkongsian tersebut, Syamsul turut merakamkan penghargaan kepada penonton yang tidak jemu menyokong hasil kerjanya.

“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia, Singapura dan Brunei. Terima kasih kerana masih percaya sentuhan saya dan pasukan saya.

“Bukan hanya untuk filem ini, malah, semua hasil kerja saya selama ini. Akan ada banyak lagi (karya) menyusul selepas ini… Nantikan,” katanya.

Filem Mat Kilau – yang mula ditayangkan sejak 23 Jun lalu – menjadi filem epik Melayu pertama yang berjaya memecah panggung selain dilihat mampu mengatasi filem kutipan tertinggi di Malaysia iaitu Munafik 2 juga arahan Syamsul.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As’ari, Yayan Ruhaniah dan beberapa aktor lain.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyifatkan filem epik Mat Kilau berjaya membangkitkan semangat jati diri Islam.

Bangga dan kagum dengan sambutan filem itu, beliau berkata, unsur nasihat serta ikatan ukhwah yang kuat dirangkum di dalam Mat Kilau membawa mesej dakwah kepada masyarakat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button