Kenaikan harga tanpa kawalan permulaan kemelesetan ekonomi: BERJASA
‘Total reset’ bukan pada cara hidup, tapi perubahan landskap ekonomi

BANGI, 3 Zulhijjah 1443H, Ahad – Penetapan harga siling bagi ayam dan telur yang dibuat bagi mengelakkan kenaikan tanpa kawalan dilihat sebagai permulaan kepada kemelesetan ekonomi yang lebih parah.
Begitu juga dengan harga minyak masak dan kenderaan yang turut mencatatkan kenaikan harga akibat pemansuhan subsidi dan pengecualian Cukai Jualan dan perkhidmatan (SST).
Setiausaha Agung BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, fenomena berkenaan agak membimbangkan.
“Dari satu segi ia merupakan indikator ekonomi semakin pulih selepas pandemik COVID-19 sehingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengurangkan subsidi dan pengecualian cukai.
“Namun dari segi yang lain, fenomena ini agak menggusarkan dan mungkin permulaan kepada kemelesetan ekonomi yang lebih parah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan, sesetengah pakar menjangkakan ‘total reset’ yang disebut-sebut bukanlah merujuk kepada cara hidup baru selepas pandemik COVID- 19 sebaliknya perubahan landskap ekonomi yang berlaku selepasnya.
Berikutan itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan supaya keadaan tidak menjadi lebih mudarat.
“Moga Allah SWT selamatkan negara kita dan meletakkan amanah membangunkan ekonomi yang semakin terancam ini di tangan para hambaNya yang soleh!,” katanya lagi.