Menteri Ekonomi Argentina letak jawatan
Guzman alami tekanan hadapi inflasi, perbalahan dalam pakatan pemerintah
BUENOS AIRES, 3 Zulhijjah 1443H, Ahad – Menteri Ekonomi Argentina, Martin Guzman, telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Alberto Fernandez, selepas perbalahan dalam pakatan pemerintah meningkat.
Guzman mengumumkan keputusannya dalam surat tujuh muka surat yang dimuatnaik di Twitter. Namun, tiada pengganti diumumkan.
“Saya mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi, sejak menjawat jawatan itu pada 10 Disember 2019,” kata Guzman dalam satu kenyataan di media sosial pada Sabtu.
Menteri itu berada di bawah tekanan ketika Argentina berjuang mendepani inflasi yang meningkat lebih daripada 60 peratus.
Guzman merupakan antara individu utama dalam kerajaan yang mengetuai perjanjian penstrukturan semula hutang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pemiutang dan pelabur persendirian.
Sumber di Bank Pusat Argentina memberitahu Sputnik pada Selasa bahawa Argentina telah menerima pinjaman Hak Pengeluaran Khas (SDR) bernilai US$3.98 bilion daripada IMF.
Hak pengeluaran itu disalurkan kepada Argentina empat hari selepas lembaga IMF membuat kelulusan mengenai semakan pertama pinjaman bernilai US$44 bilion pada 2018 dan 2019 di bawah pentadbiran bekas Presiden Argentina Mauricio Macri (2015-2019).
Bayaran balik pinjaman perlu dilaksanakan bermula 2026 hingga 2034.
Keputusan terbaharu Guzman itu juga menimbulkan keraguan sama ada Argentina boleh mematuhi program membabitkan jumlah US$44 bilion, yang matlamat dan objektifnya untuk separuh kedua dilihat oleh pakar ekonomi swasta terlalu mencabar untuk dicapai. – Agensi