Berita UtamaDunia

Palestin serah peluru bunuh wartawan Al-Jazeera kepada penyiasat AS

Tolak cadangan lakukan siasatan dengan rejim Zionis kerana tahu keputusan tidak telus

TEBING BARAT, 3 Zulhijjah 1443H, Ahad – Pihak Berkuasa Palestin bersetuju menyerahkan peluru yang mengorbankan wartawan Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh dalam serbuan tentera pengganas Israel di Tebing Barat kepada pasukan penyiasat Amerika Syarikat (AS).

Pendakwa Raya yang mewakili Pihak Berkuasa Palestin, Akram al-Khatib berkata, pihaknya bersetuju menyerahkan peluru kepada pasukan penyiasat forensik untuk siasatan lanjut.

Palestin dan beberapa kumpulan Hak Asasi Manusia dan saluran media sebelum ini mencapai persetujuan dan menjelaskan wartawan kanan Al-Jazeera kelahiran Baitulmaqdis itu dibunuh oleh tentera pengganas Israel.

Bulan lalu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) berkata, maklumat yang dikumpulkan menunjukkan peluru yang membunuh Shireen pada 11 Mei lalu adalah perbuatan tentera pengganas rejim Zionis.

Beberapa saksi berkata, rejim Zionis yang membunuh wartawan itu.

Menurut pakar forensik dan balistik, peluru yang hujungnya berwarna hijau itu direka untuk menembusi perisai dan digunakan dalam senjata M4.

Malah, hasil analisis, peluru yang menggunakan model 3D adalah sama dengan peluru digunakan oleh tentera pengganas rejim Zionis yang direka khas oleh AS.

Sebelum ini, pihak negara haram Israel mendakwa, pejuang Palestin yang bertanggungjawab dan menembak Shireen.

Bagaimanapun, rejim Zionis itu kemudian menarik balik dan berkata, pihaknya tidak boleh menolak kemungkinan tenteranya melepaskan tembakan berkenaan.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Palestin menolak cadangan untuk melakukan siasatan bersama kerana tahu hasil siasatan berkenaan tidak telus.

Pada 26 Mei lalu, Rangkaian Media Al-Jazeera menubuhkan pasukan perundangan yang merujuk kepada pembunuhan berkenaan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.

Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada pendakwa raya dan status terkini masih dalam siasatan.

Shireen ditembak mati di Kem Pelarian Jenin, Tebing Barat ketika membuat liputan di kawasan berkenaan, 11 Mei lalu. – Agensi.

Pautan terdahulu:
https://ismaweb.net/2022/06/20/palestin-tuntut-zionis-serah-pistol-tembak-shireen/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button