Berita Utama

Perbalahan dalaman UMNO undang perpecahan lebih ‘dahsyat’

Beri kesempatan kepada musuh untuk meracuni fikiran pengikut masing-masing: Ku Li

BANGI, 3 Zulhijjah 1443H, Ahad – Perbalahan dalam kalangan pemimpin UMNO ketika ini hanya melemahkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekali gus memberi ruang kepada musuh untuk berkuasa.

Situasi tersebut sekiranya berlanjutan dibimbangi akan mengundang perpecahan lebih dahsyat dalam parti terbesar orang Melayu itu, demikian kata veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru, beliau berkata, pemimpin UMNO perlu bertenang dan tidak saling menyerang antara satu sama lain dalam sesuatu isu.

“Kita sepatutnya bersatu dengan kuat menghadapi musuh menjelang PRU15, Kalau kita terus berkelahi sesama sendiri atau berlainan pendapat kita menjadi lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu dalaman pemimpin parti UMNO.

Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu, situasi itu juga akan memberi kesempatan kepada musuh untuk meracuni fikiran pengikut masing-masing.

Keadaan tersebut, katanya, sekali gus memberi impak buruk kepada UMNO pada masa depan.

Perbalahan pemimpin-pemimpin UMNO semakin memburuk ekoran pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas digugurkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Beliau membuat pendedahan mengenai berlaku gerakan yang diketuai beberapa pemimpin tertinggi parti itu supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur dan memberi tumpuan kepada kes-kes mahkamah yang dihadapi.

Malah, Tajuddin turut mendakwa Zahid juga tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bercita-cita untuk memiliki jawatan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button