Berita Utama

PN semakin diterima rakyat menjelang PRU15: Muhyiddin

Kehadiran lebih 30,000 bukti penerimaan rakyat kepada gabungan parti politik

BANGI, 3 Zulhijjah 1443H, Ahad – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin gabungan tersebut semakin diterima dan mendapat sokongan padu daripada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kehadiran lebih 30,000 orang sehingga padang Majlis Daerah Tanah Merah bertukar menjadi lautan manusia ketika PN dilancarkan secara rasmi di Kelantan, semalam menjadi bukti penerimaan rakyat terhadap parti tersebut.

“Saya difahamkan orang ramai mula memenuhi kawasan ini sejak pagi lagi dengan pihak penganjur menyediakan pelbagai aktiviti untuk masyarakat Parlimen Tanah Merah.

“Pemandangan ini pada saya boleh dianggap sebagai luar biasa lebih-lebih lagi majlis ini diadakan di luar musim pilihan raya.

“Jumlah kehadiran yang begitu ramai seumpama ini biasa hanya dapat dilihat sewaktu kempen ketika pilihan raya sahaja, tetapi semalam orang ramai membanjiri kawasan padang awam ini bagi menyaksikan program bersejarah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin berkata, kehadiran rakyat di negeri dengan jolokan ‘Serambi Mekah’ itu menjadi bukti penerimaan rakyat kepada PN yang matlamat perjuangannya adalah mewujudkan kerajaan yang bersih dan bebas daripada penyelewengan dan rasuah, selain sentiasa prihatin terhadap nasib hidup rakyat.

“Kesepakatan dan hubungan erat yang terjalin menjadi petanda yang cukup baik bagi PN untuk berhadapan PRU15 tidak lama lagi.

“InsyaAllah, kesepakatan yang dapat dilihat antara parti-parti komponen PN terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS di negeri Kelantan akan terus memperkukuhkan PN dan mencetus gelombang sokongan padu rakyat kepada PN di seluruh negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button