Berita Utama

Penceroboh Musang King dapat tangguh notis arahan kosong tanah

Tangguh sehingga rayuan mereka diselesaikan mahkamah

PUTRAJAYA, 21 Jamadilawal 1442H, Selasa – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub supaya menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S. Nantha Balan dan Datuk M.Gunalan membuat keputusan tersebut pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi zoom.

“Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman,” kata peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif tersebut.

Siew juga berkata tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan tersebut. Selain Siew, plaintif juga diwakili peguam Brendan Navin Siva, Chua Pei Nee dan Lim Pit Feng.

Pada 23 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak permohonan pekebun tersebut untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah tersebut.

Hakim tersebut berpendapat pekebun tersebut tidak seharusnya membuat permohonan itu kerana notis pengosongan yang dikeluarkan oleh pentadbir tanah bukanlah satu keputusan atau tindakan yang boleh disemak di mahkamah.

Selain itu, mahkamah juga mendapati pekebun tersebut adalah pencerobohan di tanah berkenaan dan tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk memfailkan permohonan semakan kehakiman.

Pekebun itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran menyemak notis pengosongan tanah yang ditanam pokok durian Musang King di sekitar Raub, kira-kira 96 kilometer dari sini, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit, Sungai Klau yang dianggarkan seluas 2,167 hektar.

Sebanyak 110 pekebun memfailkan permohonan itu pada 28 Ogos tahun lalu manakala bakinya membuat permohonan serupa pada 9 Sept dengan menamakan Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang, pihak berkuasa negeri, kerajaan negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai responden.

Semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Noor Fadzila Ishak dan Farahah Mohd Nazari.

Selain untuk menyemak arahan pengosongan tanah di bawah Kanun Tanah Negara dan Akta Perhutanan Negara 1984, mereka juga mahu mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri yang didakwa memberikan pajakan dan hak penggunaan tanah kebun tersebut kepada syarikat Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Pemohon juga mahu menyemak keputusan pemberian subpajakan tanah terlibat kepada mereka dan kewajipan mandatori untuk menjual durian itu kepada satu-satu entiti yang dicalonkan oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button