Berita Utama

Aidiladha: 2.3 juta kenderaan dijangka guna KLK, LPT1

ANIH Berhad tingkat tahap kesediaan, sedia tambah petugas

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Sebanyak 2.3 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bermula 8 Jun ini.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, 1.6 juta kenderaan akan menggunakan KLK, manakala 704,000 lagi kenderaan di LPT 1.

“Penambahan 2.352 juta kenderaan itu bersempena sambutan Aidiladha, terutama bagi mereka yang akan menyempurnakan ibadah korban selain mengambil peluang bersama keluarga memandangkan cuti hujung minggu yang panjang.

“ANIH Berhad akan meningkatkan tahap kesediaan pada musim perayaan kali ini menerusi penambahan petugas sebagai persediaan pengaktifan lorong-lorong tambahan jika berlaku peningkatan trafik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Radzhimah berkata, sejak awal tahun ini purata harian kenderaan pada hujung minggu di KLK adalah 161,000, manakala di LPT1 pula kira-kira 65,000 kenderaan.

Katanya, ANIH kini yakin pengguna lebih cakna dengan persediaan yang diperlukan bagi memastikan perjalanan yang selesa dan selamat menjelang sambutan Aidiladha.

Katanya, Aidiladha adalah perayaan kali ketiga rakyat negara ini berpeluang pulang ke kampung halaman sejak negara memasuki fasa endemik tahun ini.

“Demi meningkatkan komitmen kami dalam menjamin keselesaan semua, Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) tetap dikeluarkan sebagai peringatan di setiap musim perayaan.

“ANIH Berhad mengingatkan pengguna supaya memandu dengan berhemah serta memastikan keadaan kenderaan optimum,” katanya.

Pengguna kini boleh mendapatkan maklumat terkini selain merancang perjalanan dengan melayari laman sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan [email protected] Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT 1-700-818-700.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button