Berita Utama

Promosi filem Mat Kilau perlu diteruskan: Khairuddin

Begitu lama wayang didominasi filem hanya untuk hiburan, tiba masa dihiasi filem mesra syariat

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Promosi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan wajar diteruskan kerana ia membawa membawa mesej yang besar menerusi industri perfileman.

Menyuarakan pandangan itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, skrip filem yang sarat dengan mesej perjuangan untuk membela agama dan bangsa sewajarnya dipromosi secara besar-besaran.

“Begitu lama wayang hanya didominasi oleh filem hanya untuk berhibur maka tiba masanya ia dipenuhi dengan filem bermanfaat yang mesra syariat.

“Ia juga memberi semangat kepada penerbit, pengarah dan pelakon untuk menerbitkan filem sebegini.

“Keuntungan duniawi tidak hanya menerusi filem hiburan semata-mata tetapi juga menerusi filem perjuangan yang sekali gus juga menjadi hiburan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, wayang dan filem telah menjadi sebahagian kehidupan masyarakat bagi membawa pelbagai mesej sama ada menerusi filem atas talian dan pawagam.

Maka dengan itu, katanya, apa yang perlu dilakukan ialah memperbanyak filem berunsur nasihat sebagai satu alternatif kepada umat.

“Ada juga berpandangan songsang melihat sejarah Mat Kilau dan para pejuang tanah air daripada kaca mata penulisan sejarah barat. Perjuangan mereka digambarkan sebagai berkepentingan dunia kerana berebut hak memungut cukai daripada rakyat.

“Amat malang jika pemikiran sebegini masih bermaharajalela.

“Sedangkan hakikatnya perjuangan para pahlawan Melayu Islam ialah menolak sistem yang dibawa oleh barat menerusi campur tangan perundangan bermula dengan percukaian dan seterusnya mengenepikan undang-undang Islam yang dilaksanakan dalam negeri-negeri Melayu Islam,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button