Berita Utama

Sikap melabel sesama sendiri hanya lemahkan UMNO

Annuar Musa sindir sikap individu cuba kuasai parti demi agenda peribadi

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Pergolakan di dalam UMNO yang semakin meruncing mampu melemahkan parti, sekali gus membuktikan wujudnya perpecahan dalaman.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan perbuatan melabelkan sesama sendiri dan percubaan membahagikan ahli parti kepada kelompok tertentu hanya akan melemahkan parti.

“Perkara ini juga jelas membuktikan sikap berpuak-puak yang tidak menguntungkan parti.

“Yang lebih merbahaya ialah percubaan menguasai parti demi kepentingan dan agenda peribadi atau kelompok dan membiarkan parti kehilangan sokongan rakyat,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya, hari ini.

Perkongsian berkenaan dipercayai merujuk kepada kemelut dalaman yang kian meruncing di dalam UMNO ketika ini.

Beliau menegaskan, sebagai parti yang dipercayai rakyat UMNO perlu berkeupayaan menyatupadukan dan bukannya memecahbelahkan rakyat.

Pada masa sama, beliau turut menyindir sikap individu yang cuba menguasai parti demi kepentingan dan agenda peribadi mahupun kelompok tertentu.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membuat pendedahan berhubung situasi berlaku dalam UMNO yang telah menggemparkan politik negara.

Pendedahan dibuat sejurus namanya digugurkan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tajuddin pada sidang media berkenaan turut mendakwa terdapat 15 daripada 38 Ahli Parlimen UMNO yang dipegang Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak tidak memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri untuk menjadi Perdana Menteri pada awalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button