Berita Utama

COVID-19: Kes baharu, kematian meningkat minggu lepas

Kemasukan pesakit ke hospital awam meningkat 22 peratus

KUALA LUMPUR, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Kes baharu harian COVID-19 meningkat 6.1 peratus pada minggu epidemiologi (ME) ke-26 dari 26 Jun hingga 2 Julai iaitu 16,694 kes, berbanding 15,739 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-25).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes kematian turut menunjukkan peningkatan dengan 26 kes berbanding 13 kes pada minggu sebelumnya.

“Bilangan kes sembuh pada ME ke-26 pula meningkat sebanyak 1.5 peratus iaitu 14,078 kes (ME ke-25) kepada 14,293 kes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, purata kes aktif setiap hari bagi ME ke-26 adalah 28,956 kes iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding ME ke-25, manakala jumlah kumulatif kes baharu kini 4,571,355.

Beliau memaklumkan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 10 peratus pada ME ke-26 berbanding minggu sebelumnya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 22 peratus, dengan pesakit kategori 1 dan 2 meningkat 31 peratus, sementara pesakit kategori 3, 4, dan 5 meningkat 13 peratus.

Katanya, didapati trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Maya) pada akhir ME ke-26 menunjukkan kenaikan sebanyak 24.7 peratus iaitu 43,203 kes berbanding pada akhir ME ke-25 dengan 34,639 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan purata nilai kadar kebolehjangkitan (RT) menunjukkan penurunan sebanyak 0.9 peratus pada ME ke-26 berbanding ME ke-25.

Sehingga kini, katanya terdapat 10 kluster COVID-19 yang masih aktif dan dipantau di negara ini.

Sementara itu, berhubung survelan penyakit seperti influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) bagi COVID-19, beliau berkata kadar positif sampel ILI pada ME ke-26 menurun 21.7 peratus manakala kadar positif sampel SARI kekal sifar peratus pada ME ke-26.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button