Berita Utama

KKM kesan 4 produk kosmetik beracun

Notifikasi produk dibatalkan, tak dibenar jual di Malaysia

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan beberapa produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual seperti merkuri serta hydroquinone dan tretinoin.

Produk yang disenaraikan itu adalah Biela Beauty Glowing Night Cream, BL Skincare Day Cream 1, BL Skincare Day Cream 2 dan BL Skincare Night Cream.

Susulan itu, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah serta hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Katanya, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, tidak selesa, pedih, hipersensitif kepada cahaya matahari dan meningkatkan risiko kanser kulit.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik terbabit perlu dihentikan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Serentak itu, orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik berkenaan dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam juga digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button