Kolumnis

Mat Kilau dan jati diri Melayu Bumiputera

Cukup-cukuplah terbit karya filem berkiblat Barat yang memualkan

ULTRA kiasu mula takut apabila Mat Kilau menjadi fenomena. Kerajaan dan orang Melayu mesti tampil kehadapan dan serius membantu industri seni tempatan serta menyuntik dana untuk anak muda berkarya bagi melahirkan hasil seni sebegini, bagi memastikan ia terus hidup dan jati diri Melayu dan bumiputera mengakar di bumi Melayu ini. 

Anak bangsa Melayu Islam mesti dikembalikan berjati diri sebagai asas kekuatan dan masa depan negara tercinta ini. Jangan menoleh ke belakang lagi, terus bergerak ke hadapan seiring fenomena ini. 

Jarang sekali berlaku ‘filem purba’ berjati diri Melayu mendapat sambutan anak muda sehingga pecah panggung. Fenomena ini berlaku dalam filem Mat Kilau. Tahniah penggiat seni dan penerbit yang berani dalam pembikinan filem sebegini.

Saya selalu membuat analogi sebegini. Negara China dan Korea, jati diri Raja-raja dan dinastinya telah pupus. Tetapi mereka berjaya menghasilkan filem dan karya seni beraja dan berjati sehingga pecah panggung. Ratusan dan puluhan siri diterbitkan, menjadi fenomena seluruh dunia, lebih-lebih lagi negara kita, menjadi tontonan sehingga terbit air mata. Mereka berjaya menampilkan jati diri bangsa mereka. 

Malangnya, di negara kita, raja-rajanya terus kekal bertakhta, di negeri-negeri Melayu dan istana, selaku payung agama, negeri (negara), inilah jati diri kita dan aset besar kita, namun kita gagal menerbitkan karya seni beraja Melayu Bumiputera dan berjati diri, bersendikan Islam. 

Jika ada berani menyediakan karya seni tersebut, bagi tujuan penerbitan, mungkin tidak ada yang berani untuk menyambutnya, kerana takut menanggung kerugian, atas andaian takut tidak ada sambutan dan tidak ada yang akan menonton.

Akibatnya, kita sanggup berhabis dan menerbitkan karya seni berkiblatkan barat sehingga hilang habis jati diri Melayu Bumiputera. Patutkah kita biarkan perkara ini terus berlaku?

Kini, Mat Kilau telah membuktikan. Menjadi fenomena anak muda. Anak muda membanjiri studio sehingga pecah panggung. Ayuh, anak bangsaku, mari kita menggembelingkan seluruh tenaga untuk menerbitkan karya seni dengan mengambil kira sejarah bangsa dan jati diri anak bangsa. Jika tidak, pasti kita akan menyesal suatu hari nanti. 

Saya difahamkan orang kuat belakang tabir adalah Haji Abdul Rahman Mat Dali. Jutawan ummah, pemilik Hospital Az-Zahrah, Bangi, orang kuat ISMA. Sanggup mengeluarkan dana sebegitu besar demi agama dan anak bangsa. Moga Allah memberkati seluruh usaha saudara. 

Katanya, lebih 10 tahun cubaan dibuat untuk memastikan filem ini diterbitkan, tetapi tidak ada penerbit yang berani untuk menyahut cabarannya, sehinggalah ada anak muda yang sanggup tampil dengan sedikit ubah suai. Tahniah kepada Syamsul, anak Yusuf Haslam atas keberanian ini, disebalik kontroversi yang melanda diri dan rumah tangga. Anak muda ini sanggup menyahutkan cabaran anak bangsa.

Sehinggakan ultra kiasu tak boleh kata apa, melain terpaksa mengikut rentak fenomena tersebut. Kerana kemarukkan undi, seorang dia pemimpin ultra kiasu sanggup tampil sponsor tiket kepada anak muda menonton filem tersebut. Saya harap mereka ikhlas. Meskipun dalam hati mereka Tuhan sahaja yang tahu. Almaklumlah, filem Mat Kilau berkisarkan perjuangan anak bangsa dan jati diri  Melayu dan Tanah Melayu.

Persoalannya, apa iktibar yang boleh dipelajari dan tindakan segera yang perlu dilakukan? 

Pertama, kerajaan mesti tampil membantu karya seni sebegini, demi martabatkan jati diri Melayu Bumiputera. Jangan hanya biarkan Rahman Dali dan ISMA. Belajar daripada negara China dan Korea. Apabila filem berjati diri berjaya menambat hati anak muda, kerajaan mereka bertindak segera, mendanai dan menyediakan segala kemudahan bagi tujuan penerbitan karya seni sebengini.  

Kedua, kerajaan mesti memelihara tempat-tempat bersejarah, tanpa dirosakkan dan diganggu-gugat persekitarannya, bagi tujuan penggambaran dan menjaga khazanah seni. Kita tidak mahu, tempat-tempat ini tercemar dalam arus kemodenan. Banyak tempat yang telah ‘dirosakkan’ kerana arus pembangunan.

Amat kelakar sekali apabila menonton filem purba, nampak tiang letrik dan batang paip. Kampung-kampung dan tempat-tempat tradisi mesti dipelihara bagi tujuan penggambaran karya seni, seperti mana yang berlaku di China dan Korea. 

Ketiga, pelaburan untuk anak bangsa dan jatidiri jangan terlalu berkira untung rugi. Meskipun pada mulanya terpaksa menanggung kerugian, jangan pula berputus asa. Teruskan demi anak pertiwi. Jika terpaksapun menanggung kerugian, tidak mengapa, kerana ia suatu pelaburan kepada anak bangsa dan jati diri negara. Ingatlah, jati diri negara adalah asas kepada kekuatan anak bangsa.

Keempat, selain Mat Kilau (Pahang), karya seni yang mesti diterbtikan bagi tontonan anak bangsa adalah Tok Gajah ( Pahang), Dato’ Bahaman (Pahang), Pawang Nong (Pahang), Tok Janggut ( Kelantan), Tok Kenali (Kelantan), Rentap ( Sarawak), Rosli Dhobi ( Sarawak), Syarif Masahor ( Sarawak), Kanang AK Langkau ( Sarawak), Patinggi Abang Ghapor (Sarawak), Mat Salleh ( Sabah), Antanom (Sabah), Datu Tating (Sabah), Imam Marajukim (Sabah), Pak Musa( Sabah), Shariff Othman (Sabah), Embo Ali (Sabah), Kiai Salleh (Johor), Dato Muhamad Salleh Perang (Johor), Si Bongkok Tanjung Puteri (Johor), Dol Said ( Melaka), Raja Haji (Melaka), Hang Tuah (Melaka), Panglima Awang(Melaka), Haji Abdul Rahman Limbong ( Terengganu), Tok Ku Paloh ( Terengganu), Yamtuan Antah ( Negeri Sembilan), Dato’ Siamang Gagap (Negeri Sembilan), Moyang Salleh (Negeri Sembilan), Dol Said (Naning), Panglima Ismail (Kedah), Tengku Kudin (Kedah), Panglima Nayan (Kedah), Tunku Anum ( Kedah), Datuk Haji Ahmad Wan Daud (Perlis), Dato Maharaja Lela (Perak), Ngah Ibrahim (Perak), Dato’s Sagor (Perak), Pandak Indut (Perak), Laksamana Muhammad Amin (Perak), TG Hj Bakri (parang terbang sg. Manik Perak),  Syed Mashhor (Selangor), Raja Ali Haji (Selangor), Tunku Muhammad Saad (Kedah), Wan Muhammad Ali (Kedah), Tunku Sulaiman (Pulau Pinang) dan ramai lagi.

Tunggu apa lagi, segera kaji sejarah mereka, terjemahkan menjadi karya seni yang bermakna.

Kelima, cukup-cukuplah menerbit filem dan karya seni berkiblatkan barat yang memualkan. Kembalikan jati diri negara ini berpaksikan kepada Melayu dan Bumiputera, bersendikan Islam. 

Akhirnya dan banyak lagi, saya amat yakin, sekiranya ramai yang tampil, kaji sejarah negara, hasilkan karya berguna, menonjolkan perjuangan anak bangsa, terjemahkan menjadi hasil seni kreatif dan inovatif, menjadi tontonan semua, memikat anak muda, kembali kepada jati diri negara, pasti ultra kiasu akan kecut perut.

Mat Kilau adalah fenomena, suatu kejayaan, ultra kiasu mula ketakutan. Justeru, ambillah kesempatan, demi untuk masa depan. Inilah juga resepi kejayaan negara China dan Korea, juga negara-negara lain di dunia, dalam membentuk anak bangsa mereka.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button