Berita Utama

Mesej palsu kes culik kanak-kanak tular sejak 2017

PDRM sahkan tak terima sebarang laporan polis

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa dalam satu mesej tular, baru-baru ini.

Ini susulan polis mengesan sebaran mesej palsu meminta masyarakat supaya berwaspada berkaitan kejadian penculikan membabitkan sekumpulan kanak-kanak yang diberi bahan terlarang, sehingga tidak mampu bercakap dan dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Skandaguru Anandan berkata, dalam mesej itu juga menyatakan bahawa pihak berkuasa telah melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak, di mana tiga daripada mereka tidak boleh bercakap kerana telah disuntik dengan ubat kimia dan akan dihantar ke negara jiran untuk dibunuh serta organ dalaman mereka dijual.

Bagaimanapun, semakan mendapati mesej palsu itu telah tular sejak tahun 2017 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial, katanya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi 1988 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button