Berita Utama

Pemuda ISMA lancar kempen ‘Jejak Tanah Yang Hilang’

Kembalikan semangat kemerdekaan tanah air dalam generasi muda

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) melancarkan kempen berimpak tinggi ‘Menjejak Tanah Yang Hilang’ bersempena sambutan kemerdekaan ke-65 tahun ini.

Kempen berkenaan adalah kesinambungan daripada kejayaan kempen kemerdekaan 2020, ‘Kembalikan Nama Asal, Hapus Jejak Penjajah’ yang telah berjaya mengembalikan nama asal Bukit St Paul kepada Bukit Melaka.

Exco Penerangan Pemuda ISMA, Muslim Abdullah Zaik berkata, misi utama kempen ‘Menjejak Tanah Yang Hilang’ adalah untuk menyatukan cita-cita dan impian rumpun Melayu di setiap pelusuk alam Melayu, termasuk membina persaudaraan utuh berterskan akidah serta kekeluargaan.

“Bagi Pemuda ISMA, cita-cita membangunkan semula peradaban bangsa yang gemilang perlulah bermula dengan memahami titik mula perjuangan dan kesatuan bangsa dalam menyanjung sebuah cita-cita yang satu.

“Kempen ini akan bermula pada bulan Julai sehingga September 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muslim berkata, kempen itu memfokuskan tiga objektif utama antaranya mengembalikan semangat kemerdekaan tanah air dalam generasi muda, mengambil iktibar serta menyambung rantai peradaban Melayu yang silam dan merapatkan persaudaraan rumpun Melayu di rantau alam Melayu.

Katanya, pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan Pemuda Isma melalui kempen itu seperti lawatan persaudaraan ke Singapura, Batam dan Riau serta penerbitan dokumentari.

Beliau berkata, aktiviti susulan juga akan dijalankan di seluruh negara termasuk memeriahkan Hari Peradaban Bangsa Melayu.

“Siri-siri kempen kemerdekaan Pemuda ISMA diharap mampu menggarap lebih ramai anak muda dalam menjayakan pembinaan peradaban dan Order Baru Islam seperti yang diimpikan.

“Pemuda Isma akan sentiasa komited mengasah impian dan cita-cita anak muda bangsa, agar ia mampu diwariskan ke generasi seterusnya untuk dikotakan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button