Berita UtamaDunia

Sri Lanka tutup sekolah seminggu kerana bekalan elektrik

Tiada pihak mahu jual bekalan bahan api secara kredit akibat hutang

COLOMBO, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Masalah aliran tunai kritikal di Sri Lanka memaksa sesi persekolahan di negara itu ditangguhkan selama seminggu bermula hari ini berikutan ketiadaan bekalan elektrik.

Situasi getir tersebut mendorong Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera merayu kepada rakyat Sri Lanka yang berhijrah ke luar negara supaya menghantar wang bagi membolehkan pembelian bahan api.

Hutang yang banyak menyebabkan tiada pihak bersedia menjual bekalan bahan api secara kredit.

Malah, bekalan yang ada kini hanya mencukupi untuk beberapa hari lagi dan hanya akan dikhususkan kepada perkhidmatan yang penting seperti bahagian kesihatan dan pekerja di pelabuhan, perkhidmatan pengangkutan awam dan makanan.

“Mencari wang adalah cabaran yang besar dan hebat,” Wijesekera kepada pemberita.

Beliau berkata, kerajaan telah membuat tempahan bekalan dan kapal pertama yang membawa 40,000 tan metrik diesel akan tiba Jumaat ini manakala kapal pertama yang membawa petrol pula dijangka 22 Julai.

“Beberapa penghantaran bahan api yang lain sedang dalam perancangan dan pikerajaan kini bergelut untuk mencari AS$587 juta bagi membayar bekalan bahan api berkenaan.

“Sri Lanka kini mempunyai hutang sebanyak AS$800 juta dengan tujuh pembekal bahan api.” katanya.

Bulan lalu, sesi persekolahan ditutup di seluruh negara sehari berikutan kekurangan bekalan elektrik .

Malah sesi persekolahan berterusan ditutup terutama di kawasan-kawasan pedalaman.

Pihak berkuasa juga turut mengumumkan pemotongan bekalan elektrik di seluruh negara selama tiga jam sehari bermula Isnin berikutan kerajaan tidak dapat membekalkan bahan api mencukupi dari stesen jana kuasa.

Pemotongan bekalan elektrik tersebut telah menjadi masalah kepada ekonomi Sri Lanka yang berlarutan sejak beberapa bulan bersama-sama dengan kekurangan bahan keperluan yang teruk termasuk gas untuk memasak, ubat-ubatan dan makanan import. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button