Berita Utama

Sultan Sharafuddin galak rakyat tonton filem Mat Kilau agar jadi tauladan

Kaum lain hilang rasa hormat pada pemimpin Melayu jika gagal tunjuk kepimpinan baik

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggalakkan rakyat terutama bangsa Melayu menonton filem Mat Kilau agar ia boleh dijadikan tauladan serta pengajaran bahawa sesebuah tamadun dan negara boleh runtuh seandainya tidak bersatu-padu dan bekerjasama mempertahankannya.

“Beta telah menonton filem Mat Kilau yang memaparkan bagaimana perpecahan dalam kalangan orang Melayu boleh mengakibatkan pihak luar mudah menguasai kita.

“Jika dihayati dialog yang digunakan di dalam filem ini, ia bertepatan bagi menyampaikan mesej kepada orang Melayu bahawa kekuatan sesuatu bangsa terletak kepada semangat perpaduan dan pegangan kepada agama Islam,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikongsikan Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin memandang serius gejala perpecahan di kalangan orang Melayu terutama pemimpin politik ketika ini.

Baginda bertitah, perbalahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara sekarang boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik.

“Beta tidak berhasrat mencampuri urusan politik dan pentadbiran negara, bagaimanapun berasa tanggungjawab untuk memberi nasihat dan pandangan bagi memperbetulkan keadaan di samping menggesa agar perpecahan orang Melayu dan pemimpin politik Melayu dapat segera dihentikan.

“Ia bagi menjamin agar kepentingan masyarakat Melayu dapat dipelihara tanpa mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat bukan Melayu di negara ini,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, pemimpin politik Melayu perlu sedar bahawa pembangunan dan kemajuan negara amat bergantung kepada kepimpinan yang stabil.

Sehubungan itu, andai kata mereka gagal menunjukkan kepimpinan yang baik dan bertanggungjawab, kaum lain akan hilang rasa hormat terhadap pemimpin Melayu sekali gus tidak akan memberi sokongan yang padu kepada pemerintahan orang Melayu.

Di samping mengamalkan sikap kepimpinan yang baik dan tidak berbalah sesama sendiri, pemimpin politik Melayu harus juga bekerjasama dengan pemimpin parti politik kaum lain bagi menjamin pembangunan negara dijadikan keutamaan demi keselesaan hidup rakyat pelbagai kaum.

“Di samping itu, beta menyedari gejala fitnah-memfitnah berlaku dengan berleluasa di kalangan masyarakat. Penyebaran berita-berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya serta budaya menyerang perilaku peribadi seseorang individu telah mengugat keharmonian masyarakat di negara kita.

“Semua pengkhianatan serta kebencian yang dilahirkan secara terbuka ini seolah-olah sudah menjadi satu budaya di kalangan masyarakat kita. Kita perlu sedar bahawa fitnah boleh mendatangkan dosa yang besar dan kemurkaan Allah S.W.T.

“Agama Islam sendiri menggalakkan manusia untuk berdamai dan bersatu-padu dan melarang umatnya berpecah serta bermusuhan sebagaimana firman Allah di dalam surah Ali-Imran ayat 103,” titah Sultan Sharafuddin.

Oleh itu, baginda mengajak semua pemimpin politik dan rakyat di negara ini kepada kebaikan dan mengamalkan budaya sihat yang berpandukan kepada sikap toleransi dan berprasangka baik bagi mencapai aspirasi perpaduan hidup bersama demi kemakmuran negara.

“Beta menyeru agar kita bersama-sama membangunkan sebuah masyarakat yang gagah, bebas dari rasuah, bermaruah, harmoni dan berwibawa dengan menghormati nilai-nilai perpaduan kemanusiaan sejagat. Semoga Allah S.W.T. memelihara negara dan kita semua,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button