Berita Utama

Fenomena tengah hari tanpa bayang hari ini

Matahari tepat atas garisan khatulistiwa susulan peristiwa Ekuinoks

PUTRAJAYA, 25 Syaaban 1443H, Isnin – Bandaraya Kuala Lumpur, Putrajaya, Shah Alam dan beberapa bandar lain akan mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang hari ini.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan berkata, Bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya akan mengalami fenomena itu pada jam 1.19 petang, manakala Bandaraya Shah Alam pula pada 1.20 petang.

Menurut MOSTI, fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang adalah susulan daripada peristiwa Ekuinoks yang berlaku pada 21 Mac lalu, apabila matahari berada tepat di atas garisan khatulistiwa.

“Semasa peristiwa Ekuinoks, seluruh dunia mengalami waktu siang dan malam yang sama panjang iaitu 12 jam siang dan 12 jam malam.

“Peristiwa Ekuinoks juga menandakan perubahan musim iaitu bermulanya musim bungan di hemisfera utara bumi, manakala di hemisfera selatan bumi pula akan mula mengalami musim luruh,” katanya.

Kementerian itu berkata, fenomena berkenaan dipanggil Tengah Hari Tanpa Bayang kerana pada waktu tengah hari, matahari akan berada tepat di atas kepada setiap orang di atas sepanjang garisan khatulistiwa.

“Bayang kepala dan badan akan terjatuh ke tapak kaki seolah-olah tiada bayang yang jatuh ke bumi.

“Namun begitu, kedudukan Malaysia yang berada agak sedikit ke utara daripada garisan khatulistiwa menyebabkan Malaysia tidak mengalami fenomena Tengah Hari Tanpa Bayang pada 21 Mac lalu,” katanya.

Katanya, Malaysia telah mula mengalami fenomena berkenaan pada Rabu lalu di bandar-bandar Serian, Sri Aman dan Betong di Sarawak serta Kukup di Johor.

“Ini diikuti bandar-bandar lain pada tarikh-tarikh berikutnya sehinggalah ke bandar terakhir iaitu Kudat dan Jambongan di Sabah pada 7 April 2022.

“Selepas 7 April 2022, matahari akan semakin teranjak ke latitud-latitud lebih ke utara iaitu ke negara-negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, beliau ingin seluruh Keluarga Malaysia menghayati fenomena ini.

“Orang ramai digalakkan keluar rumah lebih awal untuk memerhatikan perubahan bayang-bayang sendiri atau bayang-bayang objek lain di sekitar kawasan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button