Berita Utama

Terus ketepi filem Hollywood, Mat Kilau dominasi pawagam seluruh Malaysia

Raih RM47 juta kutipan dalam negara, pecah rekod kutipan Munafik 2

BANGI, 4 Zulhijjah 1443H, Isnin – Selepas 11 hari menemui penonton, filem epik’ Mat Kilau’ terus mendominasi pawagam seluruh negara apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM47 juta.

Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof berkata, jumlah kutipan ini bakal mengatasi filem box-office Munafik 2 yang berjaya meraih RM48 juta, kira-kira dua tahun lalu.

“Hilang kata… limpah kurnia dariNya. Alhamdulillah terima kasih semuanya. Majulah filem bangsa dan negara,” katanya katanya menerusi kemas kini yang dimuat naik di Instagram (IG), hari ini.

Pada masa sama, beliau menzahirkan rasa bangga kerana filem tersebut berada di kedudukan teratas sekali gus mengetepikan filem Hollywood lain dalam tempoh dua minggu.

“Filem No 1 Malaysia two weeks in a row. Masih terus mengetepikan filem Hollywood untuk minggu kedua,” katanya lagi.

Sementara itu, GSC Cinemas berkata, filem Mat Kilau sudah pun berjaya memecahkan kutipan filem Munafik 2 yang ditayangkan pada 2018.

“Jumlah kutipan filem Munafik 2 adalah RM37.7 juta pada tahun 2018 menurut laman web Finas di pautan https://www.finas.gov.my/industry-information/top-50-feature-film (https://www.finas.gov.my/industry-information/top-50-feature-film/)

“Kutipan 48 juta (yang dinyatakan Syamsul Yusof) mungkin termasuk kutipan box office negara lain seperti Indonesia, Brunei, Singapura, dan lain-lain,” ciap GSC di laman Twitternya.

Filem Mat Kilau yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu turut mencipta kejayaan dengan mengungguli tempat pertama carta ‘Top 10 Movies GSC’.

Filem yang diilhamkan daripada tokoh sejarah Tanah Melayu itu diterajui Datuk Adi Putra yang memegang watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi selaku Tok Gajah, Yayan Ruhian sebagai Toga, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) termasuk pendatang baharu Ali Karimi sebagai Brahim.

Menelan belanja sebanyak RM8 juta, filem Mat Kilau menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button