Berita UtamaDunia

Inflasi di Turki cecah paras tertinggi selama 2 dekad

Erdogan beri jaminan tangani kesan kenaikan harga

ANKARA, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Inflasi di Turki mencecah kadar tertinggi selama dua dekad, apabila mencapai hampir 80 peratus pada Jun lalu.

Kenaikan besar harga pengguna, yang mencapai 78.6 peratus dalam tempoh dua belas bulan, berbanding 73.5 peratus pada Mei, sebahagian besarnya dijelaskan oleh kejatuhan lira Turki, yang kehilangan hampir separuh nilainya berbanding dolar dalam satu tahun.

Inflasi tidak mencapai tahap yang sama sejak 1998, empat tahun sebelum Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) memerintah berkuasa menjanjikan pembaharuan ekonomi.

Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang berhasrat untuk pemilihan semula pada Jun 2023, berkata, beliau akan menangani kesan kenaikan harga.

Beliau telah mengambil beberapa langkah, termasuk meningkatkan gaji minimum – yang diperoleh kira-kira 40 peratus warga Turki yang bekerja – daripada 2,826 lira pada akhir Disember kepada 5,500 lira (AS$325) bulan ini.

Erdogan mengemukakan dua sebab untuk kos sara hidup yang tinggi iaitu jumlah besar dolar dalam akaun deposit dan terlalu bergantung kepada import oleh Turki.

Jumaat lalu, Menteri Ekonomi, Nureddin Nebati berikrar bahawa harga pengguna akan mula turun pada Disember depan.

“Saya berjanji kepada anda dan presiden, kita akan melihat penurunan inflasi mulai Disember,” katanya dipetik media Turki.

Inflasi menjadi isu utama di Turki, dengan kenaikan harga menjejaskan kuasa beli isi rumah minggu demi minggu.

Pengiraannya juga menjadi subjek perdebatan sengit dengan pembangkang dan ramai ahli ekonomi menuduh Pejabat Perangkaan Negara secara sedar dan sebahagian besarnya meremehkan magnitudnya.

Kumpulan Penyelidikan Inflasi, terdiri daripada ahli ekonomi bebas Turki, berkata, inflasi sebenarnya 175.5 peratus tahun ke tahun, lebih dua kali ganda kadar rasmi.

Menurut tinjauan yang diterbitkan minggu lalu oleh Institut Metropoll, kurang daripada satu perempat rakyat Turki mengatakan mereka mempercayai angka inflasi rasmi.

Erdogan sendiri telah memecat empat pengarah institut statistik itu sejak 2019. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button