Berita UtamaDunia

Kejam! Zionis menyembunyi jenazah rakyat Palestin di makmal universiti

Langgar hak asasi, gesa jenazah segera diserah kepada ahli keluarga

RAMALLAH, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Rejim Zionis semakin melampau apabila tergamak menggunakan jenazah penduduk Palestin di makmal universiti negara haram itu.

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh berkata, Zionis sengaja menambahkan kedukaan keluarga Palestin yang kehilangan anak-anak mereka akibat ditembak tanpa sebab.

Rejim haram dengan sengaja menyorok jenazah penduduk Palestin di makmal fakulti perubatan di universiti-universiti Israel.

“Tindakan yang dilakukan Zionis jelas menunjukkan pelanggaran hak asasi manusia, nilai kemanusiaan, prinsip serta etika saintifik,” kata Shtayyeh.

Beliau menggesa semua universiti di seluruh dunia berhenti untuk bekerjasama dengan universiti negara haram yang terlibat dalam aktiviti tidak beretika itu – usaha untuk memberi tekanan kepada rejim berkenaan.

Shtayyeh menggesa pihak berkuasa negara haram segera menyerahkan jenazah berkenaan kepada ahli keluarga mereka.

Sehingga kini, kira-kira 78 rakyat Palestin menjadi mangsa korban rejim Zionis termasuk 15 orang kanak-kanak sejak awal tahun ini.

Lebih menyedihkan dalam tempoh berkenaan, Zionis sering melakukan serbuan ke atas penduduk Palestin di seluruh wilayah yang diduduki termasuk menggeladah kediaman penduduk setiap hari.

Serbuan ganas berkenaan disasarkan di Tebing Barat terutama bandar Jenin, susulan tindakan seorang pemuda Palestin yang berani melakukan operasi terhadap rejim Zionis sebagai membalas kekejaman tentera pengganas kepada rakyat Palestin.

Tentera pengganas juga semakin agresif menghalang penduduk Islam memasuki Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button