Pendapat

Beranikah kerajaan henti eksport minyak sawit dan turunkan harga pasaran domestik?

Kerajaan sepatutnya utamakan rakyat

KENAIKAN harga minyak masak lebih 40% yang berlaku disebabkan pemansuhan subsidi oleh kerajaan baru-baru ini adalah amat mendukacitakan.

2. Rakyat keliru dan tertanya-tanya kenapa harga minyak masak melambung tinggi padahal Malaysia merupakan antara pengeluar minyak sawit utama dunia.

3. Untuk rekod, Malaysia dan Indonesia menyumbang 80% kepada pengeluaran minyak sawit dunia.

4. Nak mudah faham, konsepnya sama seperti minyak petrol. Malaysia memiliki simpanan minyak mentah yang banyak serta merupakan pengeluar produk berasaskan minyak mentah yang utama.

5. Tetapi kita tidak boleh menentukan harga minyak mentah kerana sebaik sahaja negara terlibat dalam urusan eksport dan import (pasaran antarabangsa) harganya akan dikawal oleh pasaran dunia.

6. Disebabkan kita negara pengeluar, apabila harga minyak mentah dunia naik, negara untung. Tapi harga produk minyak juga akan naik. Di sinilah pentingnya subsidi kerajaan untuk menampan kesan kenaikan harga yang akan dirasai rakyat.

7. Cuba bayangkan jika kerajaan Malaysia tidak memberikan subsidi dan tiada harga siling petrol di negara kita. Mungkin ramai di kalangan kita yang tidak lagi mampu untuk memandu kereta.

8. Perkara inilah yang melanda produk minyak masak kini. Selama ini kita menikmati harga yang rendah disebabkan subsidi kerajaan.

9. Kerajaan sepatutnya mengutamakan rakyat. Contoh terbaik ialah usaha Indonesia bulan Mei baru-baru ini menghentikan eksport minyak sawit bagi menstabilkan harga lantas memberikan keutamaan kepada rakyatnya.

10. Namun disebabkan tekanan para petani dan pemain industri, akhirnya Indonesia terpaksa menghentikan tindakan tersebut. Beranikah kerajaan Malaysia menghentikan eksport minyak sawit dan menurunkan harga pasaran domestik tanpa terikat kepada pasaran global?

Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim
Setiausaha Agung BERJASA

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button