Dunia

Kemarau: Itali isytihar darurat di 5 wilayah utara

Lembah Sungai Po tidak alami hujan selama 4 bulan

ROM, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Itali mengisytiharkan darurat di lima wilayah utara di tengah-tengah kemarau terburuk dalam tempoh 70 tahun.

Perintah itu terpakai untuk wilayah Emilia-Romagna, Friuli Venezia Giulia, Lombardy, Piedmont dan Veneto, kata kerajaan dalam satu kenyataan.

Langkah yang diluluskan oleh Majlis Menteri itu akan memperuntukkan 36.5 juta Euro bagi menangani kemarau.

Lembah Sungai Po – yang menghasilkan kira-kira 40 peratus makanan negara – termasuk gandum dan beras hampir tidak mengalami sebarang hujan selama kira-kira empat bulan.

Keadaan darurat bertujuan langkah untuk memastikan pelaksanaan campur tangan segera diperlukan bagi menjamin keselamatan awam, pembaikan kerosakan harta awam dan persendirian serta keadaan kehidupan normal penduduk.

Menurut kesatuan pertanian terbesar negara, Coldiretti, kemarau juga mengancam separuh daripada ternakan di Lembah Po.

Malah, Tasik Maggiore dan Garda mempunyai paras air yang lebih rendah daripada biasa tahun ini, manakala paras Sungai Tiber yang mengalir melalui Rom juga menurun.

Situasi kemarau itu juga mengakibatkan pengeluaran tenaga hidroelektrik jatuh mendadak.

Pemasangan hidroelektrik kebanyakannya terletak di kawasan pergunungan di utara Itali, yang menghasilkan 20 peratus tenaga negara.

Lebih daripada 100 majlis perbandaran di utara Itali terpaksa mengambil langkah penjimatan air.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button