Berita Utama

KPT, KBS gerak sukarelawan ke kawasan terjejas banjir

Sedia bekalan pakaian, stok makanan kepada yang memerlukan

BANGI, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Lebih 400 sukarelawan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digerakkan ke kawasan terjejas banjir di daerah Baling, Kedah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sukarelawan Universiti Awam (UA) dan Yayasan Sukarelawan Siswa telah digerakkan secara berperingkat bagi menyantuni keperluan mangsa banjir dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan serta sumbangan.

Ini termasuklah kerja-kerja pembersihan, pembekalan pakaian dan bekalan stok makanan serta penjagaan kendiri kepada yang memerlukan, katanya.

“Dalam masa yang sama, saya juga mendoakan agar semua mangsa yang terkesan diberi kekuatan bagi mendepani dugaan dan cabaran yang melanda ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain KPT, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut mengambil langkah sama dengan mengaktifkan misi sukarelawan Rakan Muda bermula malam 4 Julai.

Dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Kedah dan Majlis Belia Negara, seramai 75 sukarelawan dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Baling telah muda menjalankan kerja-kerja pembersihan di dua lokasi iaitu Kampung Tiak dan Kampung Bok Bak di daerah itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, inisiatif itu digerakkan melalui Pejabat Belia dan Sukan Daerah Baling berdasarkan arahan dan ketetapan bagi menempatkan penugasan sukarelawan yang diselaraskan bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB)  yang diketuai Pejabat Daerah dan Tanah Baling.

“KBS juga menyeru dan menyambut baik mana-mana pihak yang ingin menyertai misi ini dengan mendaftar menerusi pautan https://forms.gle/A1d8HBRo88VJwdN28.

“Sekiranya memerlukan maklumat lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan Pegawai Penyelaras PBSD Baling, Encik Farid Zakwan di talian 04-4701279 atau 018-4689767,” katanya dalam kenyataan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button