Dunia

Krisis ekonomi Sri Lanka dijangka hingga akhir 2023

Masih runding IMF muktamad pelan struktur semula hutang

COLOMBO, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe mengakui negara itu kini muflis dan menjangkakan kemelut ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini berlarutan sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun depan.

22 juta penduduk negara itu mengalami inflasi yang tinggi dan pemotongan bekalan elektrik berpanjangan selepas kerajaan kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan penting.

Wickremesinghe berkata, negara yang dahulunya makmur itu akan mengalami kemelesetan teruk tahun ini dan kekurangan berterusan terhadap makanan, bahan api serta ubat-ubatan.

“Kami juga perlu menghadapi kesukaran pada 2023. Inilah kebenaran dan realitinya,” kata perdana menteri.

Katanya, rundingan berterusan antara Sri Lanka dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bergantung pada memuktamadkan pelan penstrukturan semula hutang dengan pemiutan menjelang Ogos.

“Kami kini mengambil bahagian dalam rundingan sebagai negara muflis. Oleh itu, kita perlu menghadapi situasi yang lebih sukar dan rumit berbanding rundingan sebelum ini,” katanya.

Walaupun penggantungan bayaran balik hutang asing kira-kira AS$12 bilion pada April, Wickremesinghe berkata, Sri Lanka masih mempunyai pembayaran hampir AS$21 bilion sehingga akhir 2025.

Selepas mencapai persetujuan peringkat kakitangan dengan IMF, Sri Lanka berhasrat untuk mengadakan persidangan penderma dengan ‘negara mesranya’.

Antaranya ialah China, India dan Jepun untuk mendapatkan lebih banyak pinjaman melalui perjanjian bersama.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button