Berita Utama

Mat Kilau petunjuk kecenderungan golongan muda terhadap jati diri bangsa

Naratif PdP Sejarah perlu diperbetul kerana diakui terdapat kelemahan

BANGI, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu terus tegas mempertahankan Sejarah sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini kerana, kegagalan golongan belia sekurang-kurangnya memahami sejarah – melalui mata pelajaran diajar di sekolah – bakal menyebabkan penghakisan semangat patriotik dan perpaduan.

Bagi memperbaiki kelemahan berkenaan, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyatakan kesediaan untuk bersama-sama KPM bagi menyumbang tenaga dan idea.

Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan MBM, Mohd Fauzi Fadzil berkata, mata pelajaran Sejarah perlu diperkasa bagi memastikan masa depan Malaysia sebagai negara pada masa hadapan terus lestari dan berdaulat.

Memetik laporan KPM, beliau berkata, daripada 407,097 calon SPM, 11.91 peratus gagal mendapatkan sijil kerana gagal mata pelajaran wajib termasuk Sejarah.

Bagaimanapun lebih dikesalkan, jumlah peratusan gagal itu dijadikan alasan kepada sesetengah pihak untuk mendakwa mata pelajaran berkenaan membosankan.

Pun begitu, melihat kejayaan tayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan pula, alasan golongan muda tidak sukakan sejarah tentu tidak selari dengan sambutan dan kehadiran mereka dengan busana tradisional untuk menontonnya.

Katanya, ia tentu boleh dijadikan petunjuk kecenderungan sebenar terhadap jati diri bangsa.

“Oleh itu, kegagalan 11.91 peratus calon SPM 2021 dalam mata pelajaran Sejarah itu boleh ditafsirkan sebagai kegagalan membangkitkan keghairahan golongan belia untuk mempelajari subjek itu secara akademik.

“… tetapi minat dan kecenderungan sebenar terhadap sejarah dan jati diri di luar konteks akademik adalah sangat tinggi,” katanya menulis di Berita Harian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan tumpuan diberi kepada membangunkan pendekatan pengajaran kepada guru supaya penyampaian dan pengajaran mampu menarik minat pelajar.

Ia seiring dengan langkah KPM yang dalam proses mengkaji dan mencari pendekatan intervensi bagi mengurangkan kegagalan calon SPM dalam mata pelajaran Sejarah.

“Mata pelajaran Sejarah tidak boleh lagi menjadi pembelajaran mengingati tarikh penting, sebaliknya menonjolkan sifat keperwiraan direkodkan tokoh terkandung dalam lipatan sejarah.

“Sejarah Kesultanan Melayu Melaka umpamanya diingati dari sudut tarikh dan kejayaan Portugis menawan Kota Melaka, namun wira bermati-matian mempertahankan kota berkenaan tidak pernah diketahui dalam buku teks Sejarah.

“Oleh itu, naratif pengajaran dan pembelajaran (PdP) Sejarah perlu diperbetulkan kerana perlu diakui terdapat kelemahan cara terkini mata pelajaran itu yang boleh diperbaiki,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button