Berita Utama

PAS ambil tindakan jika pimpinan, ahli cetus perpecahan masyarakat

Junjung tinggi titah nasihat dan pandangan Sultan Selangor

BANGI, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – PAS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pimpinan dan ahlinya yang bertindak membelakangkan aspek perpaduan serta mendorong berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS menjunjung tinggi titah nasihat dan pandangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya gejala perpecahan yang kini berlaku dalam kalangan orang Melayu di negara ini dihentikan segera.

“PAS juga akur sebagaimana dititahkan baginda bahawa agama Islam sentiasa menggalakkan manusia bersatu padu dan tidak berpecah belah selaras dengan perintah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, PAS akan terus komited untuk mengusahakan agenda perpaduan ummah dalam kalangan umat Melayu Islam di negara ini.

“Sekali gus mengukuhkan perpaduan nasional di antara semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Sultan Sharafuddin memandang serius gejala perpecahan dalam kalangan orang Melayu, terutama pemimpin politik Melayu.

Baginda bertitah, perbalahan dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang dilihat begitu ketara ketika ini boleh mengancam perpaduan, keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum serta kestabilan politik di negara ini.

Pautan berkaitan;
https://ismaweb.net/2022/07/04/sultan-sharafuddin-galak-rakyat-tonton-filem-mat-kilau-agar-jadi-tauladan/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button