Berita Utama

PM arah bantuan segera kepada mangsa banjir di Baling

Wang ihsan RM1,000 untuk setiap 112 ketua isi rumah

BANGI, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa banjir di Baling, Kedah.

Bantuan awal kepada setiap ketua isi rumah itu meliputi wang ihsan sebanyak RM1,000, barang keperluan asas RM2,500, barangan elektrik RM5,000 dan pembaikan rumah.

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan bantuan wang ihsan kepada semua ketua isi rumah hari ini, termasuk tiga waris mangsa yang meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang.

“Kesemua bantuan awal ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM500,000.

“Kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini mengalami kerosakan dan sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua agensi kerajaan terlibat untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa-mangsa tragedi ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.

Ismail Sabri yang kini dalam lawatan rasmi di Turki berkata, bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal.

“Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.

“Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu, banjir kilat di Lembangan Sungai Kupang dan Sg Tiak petang semalam telah meragut tiga nyawa dan menjejaskan 1,490 mangsa membabitkan 112 ketua isi rumah.

Tiga buah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button