Berita Utama

Rakyat mahukan wajah baharu pimpin negara

Hadkan tempoh masa seseorang pemimpin supaya tak terlalu lama berkhidmat

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Tempoh masa untuk pemimpin berkhidmat kepada rakyat perlu dihadkan supaya tidak terlalu lama memegang jawatan berkenaan.

Langkah itu perlu perkenalkan segera bagi memberi ruang kepada barisan pimpinan baharu berwibawa sesuai mengikut peredaran masa, kata penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir.

Beliau berkata, tiada garis panduan yang jelas untuk mana-mana pemimpin terus selesa memegang jawatan.

“Sepatutnya kita mencontohi Indonesia dan Filipina yang masing-masing menghadkan tempoh 10 dan enam tahun bagi seseorang pemimpin negara berkhidmat.

“Tempoh 10 tahun itu memadai untuk seseorang pemimpin melaksanakan idea dan dasar yang mereka mahu capai,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keinginan rakyat yang mahukan pembaharuan dalam kepimpinan negara.

Jeniri berkata, usaha untuk mengehadkan tempoh seseorang pemimpin berkhidmat pernah diusulkan sebelum ini, namun tiada ketegasan daripada pihak atasan menyebabkan langkah berkenaan terhenti begitu sahaja.

Kini tiba masanya kita melaksanakan had tertentu supaya mereka boleh bekerja keras sekali gus dapat membela rakyat dengan sempurna.

“Kita sebenarnya berdepan kemelut politik yang terlalu lama, sebab itu kita perlu pemimpin yang bersih dan dipercayai supaya boleh meletakkan negara di landasan yang betul,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, sejarah politik negara yang lambat melakukan perubahan dari segi penggantian pimpinan setiap kali pilihan raya menyebabkan kita kekurangan pemimpin yang berkaliber.

Atas dasar itu, muka-muka baru perlu diangkat supaya negara dapat melahirkan pemimpin yang dinamik dan berpandangan jauh.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button