Berita Utama

Semakin besar jurang kaya-miskin, makin banyak tekanan masalah mental

Kadar bunuh diri berkait rapat dengan jurang sama rata pendapatan

BANGI, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa – Kesihatan mental dan kesejahteraan emosi bergantung rapat dengan keadaan persekitaran serta sosioekonomi individu.

Ini kerana, kedudukan ekonomi, kerjaya, kestabilan sumber pendapatan, kesejahteraan tempat tinggal, bilangan tanggungan dan bebanan hutang antara faktor akan menentukan status kesihatan mental seseorang.

Justeru, kenaikan kos sara hidup dijangka memberi kesan kepada sebahagian besar rakyat, khususnya golongan rentan dan anak-anak kelompok miskin serta kurang berkemampuan.

Pakar Psikiatri dan Penolong Professor Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkata, kenaikan kos sara hidup akan mengurangkan sumber individu dan keluarga, yang akhirnya boleh menjadi faktor menganggu keperluan asas.

“Apabila terjejas, ia akan mencetus tekanan, sekali gus menimbulkan konflik dan menumbuhkan emosi negatif seperti putus asa, bersalah serta kekurangan diri, akhirnya memberi impak emosi jangka panjang.

“Ia juga memberi kesan kepada kemampuan individu mendapatkan bantuan. Individu mengalami tekanan sekalipun mungkin tidak mampu pergi mendapatkan rawatan kerana perlu bekerja lebih masa bagi menampung kos,” katanya.

Menulis di Berita Harian (BH), Dr Rozanizam berkata, kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara global mendapati kadar bunuh diri berkait rapat kadar jurang kesamarataan pendapatan diukur berdasarkan Gini Coefficient.

“Ini bermakna, semakin besar jurang antara kaya dengan miskin semakin banyak berlaku tekanan akhirnya membawa masalah mental seperti bunuh diri.

“Begitu juga kajian menunjukkan trend peningkatan kes kemurungan, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dalam tempoh kegawatan ekonomi sekitar lewat 1990-an,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan masyarakat Malaysia memerhatikan tanda awal masalah mental pada orang sekeliling termasuk perubahan emosi.

Antaranya seperti murung, mudah marah, cemas dan gelisah, suka menyendiri, mencederakan diri, hilang selera makan, gangguan tidur, sukar fokus serta idea mencederakan diri.

“Jika isu kesihatan mental pada fasa ekonomi mencabar tidak diberi perhatian, ia boleh membawa peningkatan kes penyakit mental kronik seperti kemurungan berpanjangan, bipolar dan skizofrenia.

“Jika tidak dibantu, mereka boleh berisiko mendapat komplikasi seperti mencederakan diri dan orang lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button