Berita Utama

Waktu bekerja 4 hari seminggu peringkat kajian saja

Perlu lihat keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam

PUTRAJAYA, 5 Zulhijjah 1443H, Selasa Cadangan waktu bekerja empat hari seminggu adalah di peringkat penelitian dan kajian sahaja, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Beliau berkata, walaupun beberapa negara sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu secara percubaan, JPA berpandangan pendekatan itu hendaklah dilihat secara holistik terutama dari segi kesesuaian dan keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini.

“JPA amat cakna akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 30 Jun lepas, Mohd Shafiq berkata, JPA menubuhkan satu pasukan khas yang akan mengkaji pelaksanaan waktu bekerja empat hari dalam seminggu kerana terdapat tuntutan daripada beberapa pihak yang inginkan kerajaan melihat perkara berkenaan dengan lebih terperinci.

Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata waktu bekerja empat hari seminggu belum sesuai dilaksanakan di Malaysia ketika ini kerana terdapat perkara lain melibatkan hal-hal kebajikan serta kadar gaji semasa pekerja yang masih perlu diselesaikan kerajaan dan majikan.

Mohd Shafiq berkata, JPA mengambil maklum pandangan Cuepacs dan pelbagai pihak berhubung cadangan waktu bekerja empat hari seminggu itu, selain sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan tersebut.

“JPA juga sentiasa mengkaji pelbagai aspek dari segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button