Berita Utama

Kehadiran Haqiem Stopa ke sekolah beri motivasi undang kecaman

Apakah kapasitinya sehingga layak dipanggil untuk berkongsi pengalaman

BANGI, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Kehadiran ‘tiktoker’ Haqiem Stopa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besi dipercayai untuk memberikan motivasi mendapat kecaman pelbagai pihak.

Kehadiran pemuda berusia 22 tahun itu tidak disenangi dengan rata-rata warganet mempersoalkan kredibilitinya sehingga layak dipanggil untuk memberi motivasi kepada pelajar sekolah berkenaan.

Difahamkan Haqiem dijemput bagi memeriahkan jelajah ‘Cerita Orang Gagal’ untuk membincangkan isu Buli Itu Jenayah.

Antara yang menyatakan kekecewaan adalah Pengerusi JK Pendidikan BERJASA, Cikgu Zulkifli Yahya apabila menyifatkan perkara itu sebagai menyedihkan.

“Sedih. Sepanjang saya jadi Nazir dan Ketua Nazir negeri dulu, punya saya jaga anak-anak bangsa saya.

“Tapi generasi sekarang hancurkan macam tu je. Dulu YB Timbalan Menteri Perpaduan bawa pergi pejabat kementerian.

“Hari ini masuk sekolah pula. Apa dah tak ada ‘idola’ influencer lain ke nak bawa jadikan inspirasi pelajar?,” soalnya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, pengguna Facebook dikenali sebagai Kuro Bikeseller secara tegas tidak bersetuju dengan kehadiran Haqiem untuk memberi motivasi di hadapan pelajar sekolah yang merupakan pelapis generasi akan datang.

“Kenapa dia dijemput? Atas dasar apa? Cemerlang dalam pendidikan? Cemerlang dalam usahawan? Cemerlang dalam dunia permotoran?

“Aku tak setuju orang macam ini diberi peluang bercakap depan budak-budak lapisan zaman akan datang,” katanya.

Hantaran milik Kuro itu telah mendapat lebih 5,000 komen dan 4,700 kongsi.

Terdahulu, tular video berdurasi 25 saat Haqiem bergambar bersama pelajar-pelajar SMK Sungai Besi.

Dapat kelihatan para pelajar teruja dengan kehadiran TikToker yang mempunyai 872,000 pengikut itu.

Sementara itu, di akaun TikTok Haqiem meletakkan kapsyen video yang dimuat naiknya dengan ucapan “Terima kasih SMK Sungai Besi” beserta dengan tanda pagar #matrempit.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button