PRU15 selesaikan masalah negara? Orang politik jangan bodohkan rakyat: BERJASA
Rakyat terancam jika sekadar tukar orang tapi watak, hala tuju masih sama
Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Para pemimpin tidak sepatutnya menjadikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai alasan bagi menyelesaian pelbagai masalah yang dialami negara.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, ini kerana, segala permasalahan tersebut boleh diselesaikan melalui kebijaksanaan dan bukan dengan menyegerakan PRU.
“Orang politik jangan memperbodohkan rakyat dengan keadaan semasa dan PRU dijadikan penyelesaian masalah.
“Sekiranya PRU15 diadakan sekadar menukar orang, menukar parti A kepada parti B tetapi wataknya, sikap, hala tuju tidak berubah, masih lagi bawa agenda keuntungan peribadi dan parti, keadaan tetap sama malah rakyat akan terus terancam dengan isu-isu mendatang.
“Parti yang naik akan terikat dengan kapitalis dan negara masih juga tidak akan berubah sebaliknya terus kekal dengan pelbagai lagi masalah.
“Jadi saya melihat PRU bukan penyelesaian, negara perlukan kepimpinan yang baharu, berwibawa yang boleh bawa negara landasan yang tepat,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu PRU15 disegerakan sebagai penyelesaian kepada masalah negara termasuk kenaikan harga barang dan kemelut politik hari ini.
Mengulas lanjut, Zamani berkata, negara perlukan perubahan dan ditadbir oleh barisan kepimpinan baharu yang berwawasan dan beragenda negarawan.
“Ini yang mampu menyelesaikan masalah rakyat dan negara.
“Hakikatnya rakyat hari ini dahagakan kepimpinan untuk bangunkan negara bukannya kepimpinan yang sama, yang berdepan masalah dalaman dan perpecahan,” tegas beliau.
Ditanya sama ada Barisan Nasional (BN) dan UMNO mampu membawa perubahan kepada rakyat sekiranya diberikan peluang untuk terus memerintah, beliau berpandangan parti itu berkecamuk selain berdepan masalah dalaman dan tidak mampu mentadbir negara dengan sempurna.
“Hakikatnya UMNO kini berdepan masalah dan berpenyakit, mana mungkin negara ini diserahkan kepada parti itu.
“Walaupun ahlinya besar namun parti itu berdepan ‘penyakit’ semesti parti itu akan sibuk akan mengubati penyakitnya, sibuk untuk selesaikan masalah dalaman mereka.
“Keadaan ini hanya memberi kesan kepada rakyat yang akan terus merana dan derita rentetan daripada masalah yang mereka hadapi,” katanya.