Berita Utama

417 penduduk Baling pindah ke pusat pemindahan sementara

9 sekolah daerah itu terjejas akibat banjir

ALOR SETAR, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Seramai 417 orang daripada 109 keluarga di Baling telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara berikutan bencana banjir di sana.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam daerah Baling Kapten (PA), Rasidah Kassim berkata, ini adalah jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara di SMK Jerai dan Surau An Nur setakat 10 malam Selasa.

‚ÄúSeramai 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia termasuk empat pegawai dikerahkan untuk membantu operasi pemindahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 78 pelajar termasuk 32 perempuan dari SMK Agama Al-Khiriah pada mulanya berteduh di sekolah berkenaan yang turut dijadikan pusat pemindahan, pada Isnin (4 Julai).

Beliau memaklumkan, kebanyakan pelajar telah meninggalkan pusat itu bersama ibu bapa atau penjaga mereka.

Banjir setakat ini menjejaskan empat kampung iaitu Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas dalam mukim Kupang serta Kampung Sedim dan Kampung Jernang di Bakai.

Kapten Rasidah menasihatkan penduduk kampung supaya berwaspada dengan keadaan sekeliling dan memaklumkan segera kepada pihak berkuasa jika kawasan mereka dinaiki air.

Sehingga Selasa, sembilan sekolah di daerah itu terjejas akibat banjir.

Hujan lebat berterusan selama tiga jam bermula jam 2 petang pada Isnin menyebabkan air Sungai Kupang melimpah ke kawasan perumahan di tepi sungai.

Sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk seorang wanita hamil maut dan ratusan yang lain kehilangan tempat tinggal dalam kemungkinan banjir paling teruk melanda daerah ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button