Berita Utama

Mana aspek keselamatan projek SUKE? Mereka wajar dihukum berat

Pegawai keselamatan projek SUKE juga gagal, seolah-olah tak wujud

BANGI, 6 Safar 1442H, Khamis – Pihak Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) gagal kerana telah menyebabkan kemalangan yang hampir meragut nyawa pemandu dan pengguna jalan raya lain. 

Ketua Perhubungan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Johor, Mohd ‘Izzul Hafizuddin Mohd Solehuddin berkata, lebih malang lagi apabila pegawai yang dilantik untuk menjaga dan memastikan keselamatan tapak projek seolah-olah tidak wujud. 

“Masakan tidak, sudah empat projek yang hampir sama telah menyebabkan kemalangan bahkan telah menyebabkan kehilangan nyawa. 

“Antara beberapa kemalangan yang telah berlaku di Ulu Klang, crawler crane tumbang, di Ampang, t-beam jatuh dan 500 tan kren terjungkit, di Alam Damai-kren terbalik dan simen jatuh atas kereta manakala berdekatan dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pula – parapet wall jatuh atas kereta.

“Dimanakah Pegawai Keselamatan yang telah dilantik?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tidak berpuas hati dengan insiden berkenaan, Mohd ‘Izzul Hafizuddin menggesa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan denda yang tinggi kepada SUKE.

Jelasnya, ia supaya denda itu setimpal dengan setiap kali kemalangan yang berlaku disebabkan kelalaian dan kecuaian pihak kontraktor hingga menyebabkan kerugian terhadap terhadap mangsa atau pun kehilangan nyawa.

Denda tersebut juga, katanya, dapat sedikit sebanyak membantu meringankan beban keluarga jika ada mangsa yang meninggal dunia atau berlaku kecacatan sehinggakan sukar untuk bekerja. 

“Selain daripada itu, mana-mana pembinaan yang melibatkan laluan awam, pihak CIDB perlulah diberi kuasa untuk melantik pegawai keselamatan kelas pertama supaya projek ini lebih selamat. 

“Rakyat perlu dibela dan dipastikan keselamatan mereka dipelihara. Jangan disebabkan untuk mendapat sebuah fasiliti terbaik, banyak nyawa perlu dikorbankan. Kerana sebuah pembangunan, nyawa rakyat melayang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Sabtu lalu, seorang wanita cedera apabila keretanya ditimpa batu konkrit struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Insiden itu menyebabkan wanita berkenaan terperangkap dalam kereta dipandunya yang remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz satu meter persegi itu.

Mangsa dilaporkan cedera di tangan dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk rawatan dalam kejadian berhampiran TBS menghala Ampang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button