Berita Utama

Banjir di Baling: KDN gerakkan agensi bagi koordinasi bantuan

Seramai 164 pegawai serta anggota PDRM telah diatur gerak

KUALA LUMPUR, 6 Zulhijjah 1443H, Rabu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan semua agensi di bawahnya menerusi Op Bantu Baling bagi mengkoordinasi bantuan dan operasi menyelamat mangsa tragedi banjir di Baling, Kedah.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Op itu diketuai Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad melibatkan pelbagai agensi di bawah KDN antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Jabatan Penjara Malaysia.

Beliau berkata 164 pegawai serta anggota PDRM telah diatur gerak manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM dihantar ke lokasi bencana termasuk empat bot, lapan lori dan tiga kenderaan pacuan empat roda.

“Seramai 46 anggota RELA juga dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat dan ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan di sini.

Hamzah berkata orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau talian MERS 999. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button